Nadzreen Shah Mat Salim


Petaling Jaya: "Pemandu tak sedar dan merempuh kon yang diletak sebelum kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam lubang," kata saksi kejadian, Muhd Khairul Mihar, 41, mengenai kemalangan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai berhampiran Park Avenue Kondominum di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, sepasang suami isteri berusia 50-an dan 60-an, cedera apabila kereta Toyota Vios dinaiki mereka terjunam ke dalam lubang penyelenggaraan Indah Water sedalam 12 meter.

Menurutnya, kedua-dua mangsa meminta pertolongan daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Ramai cuba membantu, termasuk ada yang memberi pendapat cara mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, seorang orang awam kemudian menghubungi bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.07 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikerah ke lokasi.

"Seramai lima anggota dan seorang pegawai ditugaskan untuk operasi terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ada dua mangsa dalam kemalangan itu dan kereta berkenaan berjaya dikeluarkan menggunakan kren manakala pasangan terbabit yang cedera akibat kemalangan itu, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Nota: Video kemalangan ini akan dimuat naik kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 10:19 PM
Keadaan kereta dalam lubang sedalam 12 meter dan kereta berkenaan berjaya diangkat keluar menggunakan kren. - Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kereta dalam lubang sedalam 12 meter dan kereta berkenaan berjaya diangkat keluar menggunakan kren. - Foto Ihsan Pembaca
Seorang mangsa yang cedera dikeluarkan dari lubang menggunakan kren. - Foto Ihsan Pembaca
Seorang mangsa yang cedera dikeluarkan dari lubang menggunakan kren. - Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba memasang tali pada kereta untuk mengeluarkan kereta yang terjunam ke dalam lubang penyelenggaraan Indah Water sedalam 12 meter di Petaling Jaya hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba memasang tali pada kereta untuk mengeluarkan kereta yang terjunam ke dalam lubang penyelenggaraan Indah Water sedalam 12 meter di Petaling Jaya hari ini. - Foto Ihsan Pembaca