Enam tahun berjuang, baru sekarang kumpulan Drama Band menjadi sebutan. Tidak dinafikan, populariti lagu Biarkanlah banyak mengetengahkan kumpulan yang memulakan kerjaya mereka selepas muncul naib juara pertandingan Twisties Bingit.

Cik Pang secara peribadi memang sukakan karya dihasilkan anggota kumpulan Drama Band, tidak saja lagu Biarkanlah tetapi juga single awal mereka seperti Babak Pertama dan Cerita Dia.

Bercerita mengenai kumpulan Drama Band, Cik Pang hendak berkongsi cerita menarik. Sepanjang Drama Band dianggotai Aepul Roza selaku penyanyi utama, Ammar Habir (gitar), Adib Zuraik (gitar), Daus SRK (bass) dan Faeez Halim (dram) menyertai Konsert Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro, persembahan yang mereka lakukan berjaya mencuri perhatian pengacara serba boleh, Datuk Aznil Nawawi.

Kebetulan Aznil menyaksikan siaran langsung konsert meraikan sambutan Ulang Tahun ke-25 akhbar Harian Metro menerusi Metro TV.

Aznil menjelaskan kepada rakan sekerja Cik Pang yang dia benar-benar tertarik pada konsep persembahan ditampilkan kumpulan Drama Band. Walaupun pembabitan Drama Band hanya untuk mengadakan persembahan di konsert karnival, mereka tampil dengan imej kemas ala ‘black-tie’.

Namun paling menarik perhatian Aznil adalah cara Aepul mencuri tumpuan penonton dengan berbicara mengenai lagu yang didendangkan. Dia selitkan dengan lawak jenaka dan sejarah pembabitan Drama Band dalam industri muzik.

Kata Aznil, dia seakan-akan menyaksikan persembahan konsert skala besar. Aepul tampil di pentas mewakili Drama Band seperti sangat berpengalaman dan berwibawa.

Teman sekerja Cik Pang yang menyaksikan persembahan Drama Band akui komen Aznil. Malah, katanya, sebelum ini dia tidak pernah menyaksikan persembahan artis berkumpulan seperti dilakukan Aepul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:35 AM