FOTO ihsan Muslim Network
FOTO ihsan Muslim Network
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru umat Islam di Malaysia dan masjid-masjid di seluruh negara mengadakan solat Istisqa' (solat minta diturunkan hujan) selepas solat Zohor esok bagi memohon kepada Allah S.W.T agar diturunkan hujan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mutapha berkata, solat sunat berkenaan bertujuan memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan bagi mengatasi kemarau panjang, terhindar daripada kesan kepanasan melampau dan keadaan cuaca di negara kita kembali pulih seperti sediakala.

Beliau berkata, fenomena cuaca panas dan kering akibat gelombang haba serta fenomena El Nino yang sedang melanda negara buat masa ini menyebabkan berlakunya kes-kes strok haba dan penyusutan paras air di kebanyakan empangan seluruh negara.

"Saya meminta Masjid-Masjid Utama di bawah kelolaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menunaikan Solat Istisqa'€™ tersebut.

"Di samping itu, saya memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia agar dapat mengadakan Solat Istisqa’ di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan agensi masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, solat berkenaan adalah sunat muakkad (sangat dituntut) bagi penduduk Islam di sesuatu tempat yang berdepan musim kemarau, musim kering, berjerebu dan kesukaran memperolehi sumber air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 10:54 AM