AFP

Leicester, England: Pemain sayap Leicester Marc Albrighton berkata, pendahulu Liga Perdana itu merasakan diri mereka semakin ‘kebal’ dan terlalu sukar untuk ditewaskan pada hujung baki saingan musim ini.

Skuad kendalian Claudio Ranieri itu hanya memerlukan tiga kemenangan sepanjang baki lima perlawanan musim ini sebelum dinobatkan sebagai juara Liga Perdana buat kali pertama dan kiraan pertama akan mula dibuat pada perlawanan menentang West Ham di tempat sendiri malam ini.

Selepas menguasai Liga Perdana sejak awal musim, Leicester pernah dijangka untuk melepaskan pendahuluan ketika akhir musim gara-gara tekanan yang semakin memuncak.

Begitupun, Foxes yang hanya tewas tiga kali musim ini, membuktikan bahawa kekuatan mereka tidak boleh diremehkan apabila mencatat enam kemenangan dan hanya melepaskan dua gol sepanjang tujuh perlawanan terakhir.

Catatan itu membolehkan Leicester memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pasukan di tangga kedua, Tottenham dan gelaran Liga Perdana kini semakin hampir walaupun 12 bulan lalu, pasukan itu bergelut untuk mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:28 AM