STACEY
STACEY
myMetro

Miami: Seorang penjaga zoo maut selepas diserang seekor harimau Malaya di sebuah zoo di sini kelmarin, kata pegawai dan media.

Stacey Konwiser, 38, diserang harimau jantan berkenaan kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan) ketika sedang bersedia untuk satu program di Zoo Palm Beach di sini.

Jurucakap zoo berkenaan, Naki Carter berkata, serangan berlaku ketika Stacey masuk ke tempat harimau berusia 13 tahun itu tidur.

Wanita itu dipercayai mahu membawa haiwan berkenaan untuk satu program bual bicara mengenai harimau bersama pengunjung.

“Stacey dibawa ke sebuah hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya selepas digigit harimau berkenaan,” katanya.

Selepas serangan itu, pegawai zoo mengisytiharkan kod merah dan harimau berkenaan ditembak dengan ubat pelali.

Semua pelawat juga diminta keluar dengan segera dan zoo berkenaan masih ditutup sehingga semalam.

“Harimau itu tidak keluar dari kandangnya dan kejadian ini tidak memberi risiko kepada pengunjung,” ujarnya.

Menurutnya, itulah adalah kejadian pertama petugas maut diserang haiwan yang dipelihara di dalam zoo berkenaan.

Zoo Palm Beach menempatkan lebih 500 haiwan termasuk empat ekor harimau Malaya.

Harimau Malaya adalah spesies terancam di dunia dan sering dibunuh untuk mendapatkan kulit serta organ dalamannya untuk tujuan perubatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:04 AM