IKATAN kuat antara pemain jadikan Leicester pasukan digeruni musim ini.
IKATAN kuat antara pemain jadikan Leicester pasukan digeruni musim ini.
AFP

London: Bintang Leicester Danny Drinkwater menegaskan tiada perubahan dalam pendekatan kelab ketika mereka menghampiri kejayaan Liga Perdana Inggeris.

Kelab Midlands itu tidak dianggap sebagai juara England sebaik musim bermula.

Namun mereka mendahului liga utama England itu dengan tujuh mata, mengatasi Tottenham Hotspur dan melangkah ke perlawanan menentang West Ham dengan hanya memerlukan tiga kemenangan daripada lima perlawanan terakhir untuk melengkapkan kejayaan mereka.

Pengurus Foxes Claudio Ranieri memupuk ikatan yang kuat di Stadium King Power namun Drinkwater, antara pemain Leicester yang menerima pengiktirafan England hasil aksi cemerlang mereka musim ini berkata tiada rahsia di sebalik keakraban pasukan.

“Tiada rahsia di sebalik semangat sepasukan di bilik persalinan, hanya sekumpulan pemain yang serasi bersama,” kata bekas pelatih Manchester United berusia 26 tahun itu.

“Kami bersedia bekerja keras demi satu sama lain di padang dan ia terbukti dengan bagaimana kami mendapatkan keputusan perlawanan,” katanya, merujuk kepada dua jaringan lewat Jamie Vardy untuk menewaskan Sunderland 2-0.

Tiga pemain Leicester iaitu Vardy, Riyad Mahrez dan N’Golo Kante membentuk 50 peratus daripada senarai pendek enam pemain untuk anugerah Pemain Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional.

Ketiga-tiganya dijangka menentang West Ham yang cuba menduduki empat kedudukan teratas selepas tewas kepada Manchester United pada suku akhir ulangan Piala FA si Upton Park minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:04 AM