Ular sawa yang ditangkap pada Khamis lalu
Ular sawa yang ditangkap pada Khamis lalu
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Ular sawa batik sepanjang 7.5 meter (m) dengan berat 250 kilogram yang ditangkap di kawasan tapak pembinaan lebuhraya di Jalan Paya Terubong / Relau, Khamis lalu dilaporkan mati selepas bertelur Ahad lalu.

Pengarah PERHILITAN Pulau Pinang, Loo Kean Seong berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan reptilia itu sebelum mengadakan perbincangan dengan pihak JPAM Daerah Barat Daya untuk mengambilnya semalam untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa ular berkenaan sudah mati pada Ahad, 12.30 tengah hari itu dan ditanam pihak JPAM Daerah Barat Daya.

Katanya, pihaknya bagaimanapun mendapatkan bangkai ular itu bagi pemeriksaan lanjut sebelum mendapati ia sepanjang 7.5 meter berbanding 12 meter yang didakwa sebelum ini dan dibakar.

"Punca kematian sebenar masih belum diketahui berikutan pelbagai faktor boleh menjadi punca termasuk faktor pemakanan, usia, kawasan habitat dan lain-lain selain ular berkenaan sudah dibakar kelmarin," katanya ketika dihubungi hari ini

Penemuan ular sawa berkenaan pada Khamis lalu turut mendapat liputan media antarabangsa yang mendakwa ia mungkin direkodkan sebagai ular sawa terpanjang di dunia sekiranya panjangnya melebihi 7.6m selepas ia diuar-uarkan sepanjang 12 meter

Rekod ular sawa terpanjang dikeluarkan 'The Guinness Book of World Records' milik Medusa yang ditangkap di sebuah rumah di bandar Kansas, Amerika Syarikat dengan panjang 7.6m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 6:04 PM