AFP

Manama: Nico Rosberg (gambar) membandingkan dirinya dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris Leicester City apabila ditanya mengenai permulaan cemerlang Formula Satu musim ini.

Pelumba Jerman berusia 30 tahun yang menewaskan rakan sepasukan Mercedes dan juara dunia tiga kali Lewis Hamilton pada perlumbaan pembuka tirai Grand Prix Australia berkata dia mahu memberi kejutan dalam saingan memburu kejuaraan.

“Mungkin saya boleh menjadi seperti Leicester City, bukan pilihan utama tapi menang dan terus menang,” kata pemandu yang sukakan bola sepak itu sambil tertawa. “Saya bermula dengan baik.”

Rosberg berkata, dia memang ternanti-nanti peluang untuk menang sekali lagi pada Grand Prix Baharin hujung minggu ini kerana menurutnya, ‘sentiasa ada peluang baik untuk memotong di litar itu.’

“Saya masih berpeluang biarpun tidak bermula dengan baik,” katanya.

“Saya masih boleh menang biarpun tidak di depan kerana anda sentiasa boleh memotong.”

Terdahulu Rosberg menafikan dia kini bermotivasi selepas memenangi empat perlumbaan berturut-turut, sebaliknya menganggap sudah bersedia untuk terus bersaing dengan Hamilton.

Rosberg yang memanfaatkan permulaan hambar petak pertama juara bertahan Hamilton pada perlumbaan pertama musim ini mengakui berpuas hati dengan pencapaiannya di Melbourne.

Namun dia menambah keputusan musim lalu tiada kaitannya dengan tahun ini dengan perlu memandang ke depan, bukannya ke belakang.

“Kemenangan itu penting bagi saya, cara terbaik untuk memulakan musim ini,” katanya.

“Empat kemenangan? Ia mungkin nampak elok mengikut statistik tapi saya tidak memikirkan mengenai tahun lalu kecuali membawa perkara positif ke Melbourne.

“Sekarang, saya di sini,” katanya.

“Satu lagi perlumbaan, satu lagi hujung minggu. Amat penting untuk memulakan musim baru dengan kemenangan jadi ia tugas yang sempurna setakat ini!”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:04 AM