Fathia mahu laksana tugas sebagai seorang muslimah.
Fathia mahu laksana tugas sebagai seorang muslimah.
Oleh:Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Aktres popular Fathia Latif tidak mahu ada pihak menjadikan isu kelak apabila dia mengambil keputusan untuk berhijab.

Katanya sewaktu dihubungi, menutup aurat bagi wanita adalah wajib, jadi tidak ada sebab mengapa dia tidak melaksanakan perkara yang seharusnya dilakukan oleh seorang muslimah.

"Sebelum ini banyak kekurangan pada diri saya sehingga menyebabkan saya lupa dan alpa. Syukur kerana Allah tetap memberikan hidayah-Nya kepada saya."

"Begitupun walaupun saya sudah berhijab jangan anggap saya sudah bagus kerana banyak perkara yang perlu saya pelajari dan dalami," katanya.

Jelas Fathia lagi sebelum ini dia sudah mula belajar memakai hijab apabila pulang dari New York, Amerika Syarikat bagi menjalani pengambaran drama bersiri terbaru arahan Erma Fatima, Rumi dan Jawi.

Keputusan untuk berhijab sepenuhnya dibuat beberapa hari lalu.

Pelakon utama drama popular Ariana Rose itu juga mengharapkan peminat mendoakan akan keputusan diambil itu akan membawa ke jalan kebaikan bukan saja untuk dirinya tetapi juga orang sekelilingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 8:57 PM