Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Seorang pekerja ladang yang sedang memikat burung maut selepas terkena tembakan rakan sekampungnya yang sedang berburu di hutan sempadan Ladang Bukit Abu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Zulkifli Mat Isa, 48, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong di sini, akibat kecederaan parah di kepala, bahu kiri dan peha kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, suspek berusia 48 tahun dipercayai tersalah tembak mangsa yang disangkakan sebagai kijang.

Katanya, suspek hanya menyedari tertembak mangsa sebaik memeriksa hasil tembakannnya di lokasi kejadian.

"Mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di klinik berhampiran.

"Suspek bersama rakannya berusia 40 tahun ditahan reman sehingga 4 Disember depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:16 PM