AKSI menarik Aqmarur.
AKSI menarik Aqmarur.
FLEKSIBEL kerana bergantung kepada kreativiti pemainnya.
FLEKSIBEL kerana bergantung kepada kreativiti pemainnya.
JURI memerhati aksi pemain dalam pertandingan Kendama.
JURI memerhati aksi pemain dalam pertandingan Kendama.
ANTARA pilihan permainan Kendama.
ANTARA pilihan permainan Kendama.
ANTARA komuniti kecil Kendama Malaysia.
ANTARA komuniti kecil Kendama Malaysia.
Nurul Husna Mahmud


Bola bertali bersama tiga lubang pada kaki mahupun kayu pemegangnya membuatkan permainan tradisi, Kendama yang berasal dari Jepun ini amat menarik. Kaedah bagi memainkan alat itu seolah-olah berbentuk tukul namun mempunyai lubang di setiap sisi.

Tugas pemainnya cukup ringkas apabila memerlukan bola bertali dan memasukkan dalam lubang.

Permulaan mereka akan cuba memasukkan ke dalam lubang paling besar di bahagian kaki kayu atau memasukkan bahagian kayu tajam ke dalam lubang pada bola.

Skil akan diperbaiki apabila pemain sudah mahir mengimbang, menimbang dan menangkap bola berdasarkan ‘cawan’ (cup) pada kayu atau pemegang sambil memuatkan beberapa helah yang membuatkan permainan bertambah menarik.

Menurut wakil Kendama Malaysia Mohamad Azrim Shazrami, permainan itu makin berkembang serta mula mendapat peminat permainan dalaman di Malaysia.

Katanya, permainan ini tidak ubah seperti ‘trick’ permainan yoyo kerana membabitkan tali serta perlukan koordinasi mata serta tangan membolehkan ia dapat dimainkan dengan lancar.

“Permainan itu mempunyai lima bahagian sebenarnya iaitu bola dirujuk sebagai ‘tama’, ‘ken’ ialah bahagian pemegang bermaksud pedang, lubang atau ‘cawan’ dipanggil ‘sarado’, tali nilon digelar ‘ito’ dan manik yang menahan bola pada tali dipanggil ‘futome no biizu’.

“Cara dimainkan ialah masih bergantung kepada objektif utama iaitu mereka perlu memasukkan bola kedalam cawan ada.

“Ia mempunyai pelbagai kaedah memegang seperti ‘Sara Grip’ , ‘Ken Grip’, ‘Tama Grip’ mahupun ‘Rosoku Grip’. ada juga variasi dalam ‘trick’ mengikut tahap.

“Sebagai contoh mereka baru saja mengenali permainan ini, asasnya pada tahap 10-kyu memerlukan mereka menguasai ‘Oozara’ atau memasukkan bola dalam lubang paling besar sekurang-kurangnya sekali dalam 10 percubaan,” katanya.

Kata Azrim lagi berbanding dulu, permainan ini sukar didapati kerana ia perlu diimport.

“Pilihan dulu terhad dan memerlukan kita membeli di luar. Namun kini dengan rangkaian kenalan komuniti Kendama kita boleh mendapatkan permainan ini. Ba­nyak kedai permainan mahupun dalam talian sudah menawarkan pelbagai jenis material.

“Malah saya sendiri turut menjual permainan ini seperti ‘Catchy Kendama’ pada harga mampu orang miliki. Daripada kayu iaitu reka bentuk asli Kendama ada juga jenis material plastik jauh lebih murah serta tahan lasak.

“Pemain baru selalunya kita sarankan untuk mendapatkan jenis plastik sebelum mereka beralih kepada model kayu serta kualiti premium seperti ‘custom’ jauh lebih mahal.

“Untuk pertandingan selalunya menggunakan saiz standard iaitu 17.94 sentimeter dengan diameter bola 6 sentimeter. Cuma untuk persembahan, ada pelbagai variasi segi saiz dan warna bagi tujuan hiburan,” katanya.

Rakannya dari komuniti Kendama Culture, Nicholas Chan Li Wing tidak menafikan permainan santai itu mempunyai peminat tersendiri.

“Meskipun permainan ini nampak senang namun untuk ‘master’ setiap tahap dan ‘trick’ memerlukan fokus serta konsisten tinggi.

“Tidak mudah baik kanak-kanak mahupun dewasa kerana mereka harus kuasai sendiri skil permainan. Ke­simpulannya ia satu permainan ‘fair’ apabila kita buat pertandingan terbuka.

“Ini membabitkan sejauh mana mereka mampu me­ngendalikan kendama dengan baik tanpa membabitkan kekuatan fizikal mahupun memerlukan karakter tertentu pada tubuh.

“Jadi kami sendiri setiap kali menganjurkan pertandingan membabitkan Kendama boleh melihat mereka menyertai terdiri daripada pelbagai kumpulan umur mahupun jantina. Ia sesuai untuk seisi keluarga juga,” katanya yang turut menganjurkan pertandingan Kendama di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi peminat Kendama, Wan Aqmarur Razin Wan Azlan, 23, permainan tradisi berkenaan satu kelainan berbanding permainan bertali seperti yoyo.

“Saya sukakan permainan ini kerana unik dari segi cara dimainkan kerana bentuknya sedikit berbeza. Rasa satu kepuasan apabila bola ‘mendarat’ cantik dalam ‘cup’ selain berusaha menguasai ‘trick’ yang baru.

“Selain rakan dalam komuniti ini, selalunya saya akan merujuk pada YouTube dan cuba praktis. Memang perlu banyak berlatih selain konsentrasi tinggi kerana ia membabitkan koordinasi tangan serta mata perlu bekerja serentak,” katanya berharap lebih ramai akan mencuba permainan sekali gus berkongsi skil antara satu sama lain.

Sementara itu buat pemain Kendama, Daniel Ngew, dia berkata permainan itu lebih fleksibel serta tidak menggang­gu komitmennya selaku pelajar.

“Permainan ini ringkas tetapi baik untuk melatih mental kerana ia membantu saya fokus dalam sesuatu. Keluarga juga tidak marah kerana ia tidak memerlukan belanja besar selain mudah dibawa ke mana-mana.

“Saya akan main apabila terluang dan biasanya 20 minit hingga sejam. Jumlah itu meningkat apabila saya masuk pertandingan. Selain perlu mengasah skil lain saya juga perlu belajar teknik mahupun ‘trick’ bagi tujuan pertandingan.

“Biasanya kami pemain perlu tunjukkan ‘trick’ terbaik serta sempurna. Lagi banyak ‘trick’ saya mahir lagi tinggi peluang menang dan bagi saya satu kepuasan apabila dapat menguasai seberapa banyak tahap dalam kendama, ”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:02 AM