Kuala Lumpur: “Bagilah makcik-makcik ini peluang. Kalau tak ada (makcik) tak adalah Pemuda dan Puteri, hancurlah UMNO,” demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mengulangi permintaan supaya satu kerusi tambahan diwujudkan bagi jawatan Naib Presiden UMNO dan Naib Ketua UMNO Bahagian diberi kepada anggota sayap itu, Shahrizat menegaskan ia bertujuan memperkasa penglibatan wanita dalam politik, juga sebagai pengiktirafan, tanpa ada niat untuk mencantas sesiapa.

“Boleh tak? Bagilah satu tempat kepada kami (Wanita UMNO). Kita tak singsing tangan tapi kita hulur tangan sebab kita sayangkan parti ini,” katanya dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Shahrizat berkata, hasil mesyuarat perwakilan Wanita UMNO bahagian tahun ini, 171 bahagian dan 12,483 cawangan menyokong usul berkenaan. Wanita UMNO dianggotai 1.3 juta orang, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 3.5 juta anggota UMNO.

Cadangan ini mendukung kehendak Fasal 3.4, Peraturan Pergerakan Wanita UMNO iaitu membangunkan wanita ke arah mencapai 30 peratus dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar negara, katanya.

“Saya berharap pucuk pimpinan UMNO akan membuat keputusan bijaksana dalam hal ini apabila masanya tiba untuk Perlembagaan UMNO dipinda,” katanya.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menghangatkan suasana di dalam Dewan Tun Ismail apabila berkata alasan kononnya ‘kaum Hawa’ dalam sayap UMNO itu tidak sesuai untuk jawatan Naib Presiden dan Naib Ketua Bahagian kerana telah tua sangat tidak masuk akal.

“Selagi saya jadi Ketua Wanita UMNO, saya tidak akan biarkan mana-mana pihak kecilkan usaha wanita. Langkah mayat saya dulu kalau nak biarkan wanita diperkecilkan,” katanya, yang mendapat tepukan gemuruh daripada 993 perwakilan Wanita.

Usul ucapan dasar ketua itu dicadang Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Surayah Ibrahim dan disokong Ketua UMNO Bahagian Ampang, Prof Madya Datuk Dr Rozaidah Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:03 PM