ORANG ramai di KL Sentral, Kuala Lumpur. FOTO fail NSTP Asyraf Hamzah
ORANG ramai di KL Sentral, Kuala Lumpur. FOTO fail NSTP Asyraf Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima (KPKM-5) mendapati dalam kalangan penduduk berusia 15 tahun ke atas, 60.7 peratus terdiri daripada mereka yang berkahwin manakala, hanya 1.9 peratus bercerai dan berpisah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perkara itu antara beberapa penemuan utama dalam KPKM-5 dijalankan di 23,112 tempat kediaman terpilih di seluruh negara.

Menurutnya, kajian mendapati kebanyakan tempoh perkahwinan yang pertama berakhir dengan penceraian adalah dalam lima tahun dan ke bawah.

"Usia perkahwinan dalam masa lima tahun adalah satu tempoh kritikal perlu diberi perhatian oleh setiap pasangan.

"Antara punca utama berlaku penceraian adalah tiada persefahaman dan curang dengan pasangan masing-masing," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama KPKM-5 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datin Chew Mei Fun.

Rohani berkata, kajian berkenaan dijalankan di seluruh negara meliputi lima kumpulan sasaran.

"Wanita pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, lelaki pernah berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun, remaja belum pernah berkahwin usia 13 hingga 24 tahun, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta individu bujang berusia 25 hingga 49 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 1:02 PM