Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Nathan Holman terus mempamer aksi cemerlang pada hari kedua Kejohanan Maybank Malaysia apabila tujuh birdie dilakukan membantunya kekal selaku pendahulu dengan kelebihan dua pukulan pada saingan di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) semalam.

Pemain berusia 24 tahun dari Australia itu mencatat enam bawah par 65 untuk 13 bawah par 129 keseluruhan selepas dua hari beraksi.

Ketika pemain lain dilihat berdepan kesukaran beraksi baik, Holman kekal cemerlang mencatat birdie di lubang ke-3, 4, 6, 13, 15, 16 dan 17.

“Saya tidak berdepan sebarang tekanan selepas dua hari berlangsungnya kejohanan ini. Sebaliknya lebih selesa mendahului lawan lain berbanding ketinggalan kerana perlu mengejar pendahulu,” katanya yang mendahului pemain tempat kedua, Richard Bland (gambar kecil) dari England.

Holman yang beraksi di sebelah petang mengaku terkejut apabila tiada pemain sebelah pagi yang mampu memintas kedudukannya selaku pendahulu.

“Ketika menunggu untuk memulakan permainan, saya melihat keputusan semasa dan agak terkejut tiada pemain dapat berada di depan.

“Lapangan di sini sememangnya memberikan cabaran cukup sukar tapi mujur saya dapat melakukan pukulan putt dengan baik kerana sudah menjalani latihan sejak dua minggu lalu,” katanya.

Ketika Holman terus cemerlang, Casey O’Toole dari Amerika Syarikat mencuri tumpuan apabila melakukan pukulan hole-in-one.

O’Toole menutup saingan pusingan kedua dengan catatan empat bawah par 67 sekali gus layak beraksi di dua pusingan terakhir bermula hari ini.

Dia berjaya melakukan pukulan itu di lubang ke-12 sekali gus membawa pulang mata ganjaran sebanyak satu juta daripada Hotel Hilton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:07 AM