HISHAMMUDDIN (kanan) ketika hadir majlis Perutusan Khas Tahun Baru 2016 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Abdullah Yusof
HISHAMMUDDIN (kanan) ketika hadir majlis Perutusan Khas Tahun Baru 2016 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Abdullah Yusof
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menyertai sebarang kempen ketenteraan yang diterajui oleh Arab Saudi untuk menentang pemberontakan di Yemen seperti mana yang digembar-gemburkan dalam sosial media.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Latihan Thunder of the North yang diadakan di utara Arab Saudi membabitkan pasukan tentera darat, laut dan udara dari 20 negara termasuk Malaysia.

Katanya, latihan yang diadakan dari 16 Februari hingga 4 Mac 2016 di kawasan latihan Hafar Al Batin, di wilayah utara Arab Saudi adalah latihan ketenteraan membabitkan pelbagai negara yang wujud sejak 15 tahun lalu dan sudah dijalankan sebelum operasi ketenteraan di Yemen lagi.

"ATM dijemput oleh pihak Arab Saudi untuk menyertai latihan berkenaan dan ATM mengambil kesempatan yang ada bagi menimba pengalaman operasi ketenteraan dalam suasana yang berlainan dengan di Malaysia.

 "Latihan di kawasan teluk ini adalah yang pertama kali disertai oleh ATM dan yang nyata ia memberi manfaat besar dan pengalaman berguna kepada ATM di masa depan. “Jelas sekali latihan ini tidak ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan terhadap Yemen ketika ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 5:04 PM