KELLER (tengah) bersama Goh (kanan) dan Pengarah Urusan Lee Motor, Eugene Lee pererat kerjasama.
KELLER (tengah) bersama Goh (kanan) dan Pengarah Urusan Lee Motor, Eugene Lee pererat kerjasama.

Bukit Mertajam: Bagi mengukuhkan lagi rangkaian pasaran kenderaan penumpang khususnya di sekitar Lembah Klang, Volkswagen Group Malaysia dan rakan niaganya, Goh Brothers Motor akan membuka pusat jualan, pameran, alat ganti dan servis (4S) terbaru di Batu Caves, Selangor, tahun depan.

Pelaburan terbaru Volkswagen di Lembah Klang itu sebagai tambahan kepada dua pusat 4S yang sudah beroperasi di Juru, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak selain disokong pusat pameran, servis dan jualan (3S) di utara Semenanjung.

Pengerusi Eksekutif Goh Brothers Motor, Goh Kian Sin berkata, pihaknya kini memiliki sembilan premis 3S di utara Semenanjung dan Lembah Klang dengan kemudahan terbaru iaitu pusat servis di Ipoh 2.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi pasaran dan sokongan kepada pelanggan di utara Semenanjung, pihaknya turut membuka satu pusat servis di Kulim, Kedah serta pusat 3S di Pulau Langkawi dan Taiping, Perak.

“Pembukaan pusat 4S di Batu Caves nanti bakal mengukuhkan lagi kerjasama erat dijalin bersama Volkswagen selain meletakkan Goh Brothers Motor sebagai antara pemain industri automotif terbesar di negara ini.

“Kami bermula sebagai pengedar Volkswagen di Juru, tujuh tahun lalu dan tetap komited untuk menjadi pengedar Volkswagen yang terunggul di negara ini,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, wilayah utara Semenanjung menawarkan peluang pasaran kenderaan yang besar dan berikutan itu, pihaknya memberikan tumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan kepuasan pelanggan.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan beberapa penambahbaikan untuk memastikan setiap pelanggan berasa puas hati dengan mutu perkhidmatan diberikan di pusat servis Volkswagen.

“Bagi tujuan itu, kami turut membawa 10 pakar Volkswagen dari Jerman untuk membantu menguruskan operasi berkaitan dan memberikan tunjuk ajar kepada juruteknik di negara ini. Bagi mencapai proses tempahan serta penyampaian kereta kepada pelanggan dengan lebih pantas, kami mengambil seramai 100 juruteknik baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:16 AM