HIDANGAN laut keistimewaan Crab Hut.
HIDANGAN laut keistimewaan Crab Hut.
PENGGEMAR ayam boleh mencuba hidangan BBQ Spring Chicken in Chama Sauce.
PENGGEMAR ayam boleh mencuba hidangan BBQ Spring Chicken in Chama Sauce.
ATIKAH teruja dengan hidangan ketam.
ATIKAH teruja dengan hidangan ketam.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Cara pelanggan menikmati hidangan laut di Crab Hut Cyberjaya tidaklah seperti restoran yang biasa dikunjungi peminat sajian itu.

Tiada kelibat pinggan mahupun kulteri menghiasi meja makan kerana konsep penyajian dicetuskan pemilik restoran itu yang mahukan setiap pelanggannya menikmati sajian terbabit menggunakan tangan.

Menu utamanya adalah hidangan laut premium diimport dari luar negara sejauh Norway untuk produk ketam, udang, sotong mahupun pelbagai kepah dimasak dalam empat pilihan sos kemudiannya dilambakkan sepanjang meja dilapik menggunakan kertas khas.

Menurut pemiliknya, TY Ooi, konsep hidangan sebegitu difikirkan kerana mahu pelanggannya merasai kelainan selain membantu mewujudkan suasana kemesraan dan kemeriahan seperti makan bersama keluarga yang sudah lama hilang.

“Meskipun makan beramai-ramai tetapi selalunya kita sibuk dengan telefon masing-masing. Jadi apabila kita memperkenalkan konsep ini pelanggan terpaksa lupa seketika dengan telefon pintar mereka.

“Mana tidaknya, tangan mereka sudah diselaputi sos hidangan dan keadaan seperti ini membuatkan mereka terpaksa berbual bersama keluarga mahupun rakan ketika menikmati hidangan. Saiz hidangan kami juga terlalu besar untuk seorang,” katanya.

Menurut Ooi, antara pilihan menu di restoran itu tarikan utamanya ialah hidangan lautnya, Crab Hut.

“Sebenarnya genre menu yang kami tampilkan ialah menu yang berasal dari Louisiana Amerika Syarikat. Pelanggan perlu melalui tiga langkah ketika membuat pesanan iaitu pertama memilih produk laut segar, diikuti dengan pilihan sos dan sayuran tambahan ingin digabungkan dalam pek berkenaan.

“Ada empat pilihan sos tidak kurang hebatnya apabila menampilkan tahap kepedasan berbeza. Bermula dengan paling kurang pedas hingga tahap empat paling pedas. Untuk pelanggan tempatan, mereka tiada masalah menikmati tahap ketiga dan keempat kerana sudah serasi dengan hidangan pedas,” katanya.

Memastikan setiap pelanggan di sini ‘tidak alah membeli’, setiap produk laut di restoran itu disaring berdasarkan saiz dan kesegaran sebelum dibawa keluar dari dapur.

“Saya faham ada peminat hidangan laut memikirkan kualiti hidangan laut diimport terjejas sebaik melihat ia antara produk sejuk beku.

“Tetapi buat pengetahuan pelanggan mahupun peminat hidangan laut, kualiti kami jauh lebih baik daripada membuat pembelian di pasar. Kesegaran produk dikekalkan dalam suhu sejuk beku jauh lebih baik kerana ia dimasak tanpa menjejaskan kualiti bahan mentah berkenaan.

“Kita mengikut standard penyediaan makanan ketat dan bertaraf restoran mahupun hotel lima bintang dalam memastikan ‘kemanisan’ hidangan ini masih dapat dinikmati,”katanya.

Memahami sensitiviti pelanggan Muslim, pemiliknya berkata restoran ini mematuhi syarat halal.

Berbeza dengan status penyediaan halal di restoran pertama, Crab Factory di Subang Jaya kerana ada servis minuman beralkohol, Crab Hut terjamin dalam penyajian halal terhadap semua menunya.

“Pelanggan tidak perlu bimbang kerana kami berusaha mematuhi syarat halal dalam uasaha menarik pelanggan kami kerana restoran kami antara yang menjadi pilihan ketika bufet Ramadan.

“Ini sebagai menghargai peminat hidangan laut Muslim supaya selesa menjamu selera tanpa perlu sangsi terhadap status makanan berkenaan,” katanya.

Atikah suka isi kekal manis

Pelakon popular drama Bila Hati Berbicara, Atikah Suhaimie tidak kekok mengopek hidangan kegemarannya, ketam.

Melihat dia tampak selesa menggunakan tukul serta playar untuk mengopek isi ketam menunjukkan dia ‘pakar’ dalam menikmati sajian laut itu. Aktres berusia 24 tahun itu berkata, dia teruja dengan lambakan hidangan laut di Crab Hut.

Malah memerlukan dia mengenakan apron diperbuat daripada plastik dan menggunakan tangan menikmati hidangan itu disifatkan pengalaman luar biasa berbanding dengan restoran pernah dia kunjungi sebelum ini.

“Saya langsung tidak sangka mereka tuang begitu saja tanpa sebarang pinggan. Itu memang mengejutkan tetapi sesuatu konsep baru pada saya yang difikirkan baik.

“Tambah pula, melihat saiz produk laut terutama­ketam membuatkan saya teruja sepanjang berada dalam restoran ini.

“Meskipun sos pedas menjadi kuah kepada sajian berkenaan tetapi kemanisan isinya tidak terjejas. Ini menunjukkan kepakaran chef menyediakan menu ini memastikan keseimbangan dalam rasa sajian disediakan.

“Mengenai saiz hidangan serta menu sampingan seperti ayam goreng ‘butter garlic’ dan ‘cajun’ juga sungguh enak. Peminat hidangan laut seperti saya tentu saja berada di ‘syurga dunia’ dengan pelbagai pilihan makanan laut dihidangkan dalam satu pakej,” katanya.

Selaku peminat tegar hidangan laut, dia mengakui sebelum ini kerap memandu jauh semata-mata untuk menikmati hidangan laut segar.

“Kadangkala ke Banting atau bercuti ke pulau di pantai timur baru boleh nikmati hidangan laut. Namun sekarang dekat saja dan hanya beberapa minit dari kawasan tempat tinggal, saya sudah boleh menikmati hidangan laut enak.

“Cara penyediaan menu juga berbeza dan menepati cita rasa saya. Selepas ini saya lebih kerap mengunjungi restoran ini bersama keluarga mahupun teman,” katanya.

Perkembangan terbaru, katanya, ketika ini komitmennya ialah terikat dengan jadual penggambaran filem genre komedi seram Wolksegen Kuning.

Tidak cukup sekadar dengan filem, Atikah berkata dia juga berlakon dalam drama ditayangkan menerusi platform dalam talian, tonton.my.

“Meskipun tiada kelibat dalam drama televisyen ketika ini, saya masih ada ‘bingkisan’ drama ditayangkan dalam talian. Ketika ini drama web bersiri, Ella Putri.

“Selain itu, filem ‘My Stupid Boss’ garapan sutradara Indonesia, Upi, menampilkan gandingan saya bersama Bront Palarae dan teraju negara berkenaan seperti Bunga Citra Lestari dan Reza Rahadian.

“Dijangka ditayangkan pada Mac depan. Bagi saya pe­ngalaman itu besar maknanya apabila dapat bekerja bawah produksi mahupun arahan pengarah dari negara berbeza. Biasalah apabila bahasa berlainan tentu saja saat lucunya lebih banyak. Itu manis apabila kita bekerja dalam persekitaran baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:01 AM