Oleh Dang Setia

Saya menjalin hubungan dengan pemuda dikenali menerusi laman sosial. Pada mulanya dia hanya menunjukkan sikap mesra sebagai teman sehinggalah kami sering bertemu kebelakangan ini.

Dia sangat mengambil berat dan pada satu tahap dia sanggup datang dari Melaka ke Johor Bahru semata-mata untuk bertemu dengan saya.

Tetapi saya masih berat hati untuk menerimanya kerana pernah ternampak gambar dia bersama seorang wanita sebagai ‘screen saver’ telefonnya. Berat mulut saya hendak bertanya dan hanya membiarkan hal itu berlalu.

Dia kerap melafazkan perkataan sayang dan memaklumkan mahu menyunting saya menjadi suri hidupnya. Saya rasa dia ada agenda lain. Entahlah Dang Setia, setelah mengalami pengalaman bercinta memeritkan, saya langsung tidak berminat menjalin hubungan cinta.

Pada saya, biarlah saya bercinta selepas berkahwin. Saya tidak pasti boleh percayakan dia setelah melihat gambar itu. Saya rasa kalau bertanya dia hanya akan mereka pelbagai alasan untuk menutup sikapnya menjalin hubungan dengan ramai wanita. Bantu saya Dang Setia.

GINA, Johor Bahru

Jangan berat mulut. Sebaliknya saudari perlu lakukan sesuatu untul melunaskan kekusutan berhubung dengan gambar yang saudari lihat.

Mana tahu gambar itu saudaranya atau kenalan. Penting saudari dapatkan dulu keterangan mahupun penjelasan. Biarpun dia mereka pelbagai alasan dan cerita sekurang-kurangnya saudari dapat penjelasan.

Namun, mengenai hubungan saudari dengannya, cuba kenali si dia terlebih dulu. Elak menjatuhkan hukuman dan nilai keikhlasan dia.

Pada Dang Setia, mula dengan bersangka baik kerana itu akan membuatkan saudari bersifat terbuka terhadap lelaki dan tidak bersikap dingin.

Meskipun berdepan dengan pengalaman cinta tidak menggembirakan, tidak semestinya ‘sejarah silam itu’ berulang. Penting saudari berhati-hati menilai peribadi pasangan serta tidak terjebak dalam perhubungan berisiko.

Jaga maruah diri serta berpegang cara Islam mengenai adab pergaulan. Selagi saudari menjaga diri seperti mana disarankan, insya-Allah saudari terlindung daripada lelaki berniat tidak baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 12:52 AM