Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Norul Awatif Romli


Alor Setar: Krisis politik Kedah yang berlarutan selama dua minggu kini berakhir apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah secara rasmi dalam sidang media diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, perkara itu terpaksa dilakukan akibat daripada gerakan menjatuhkan beliau daripada jawatan tertinggi kerajaan negeri, sekali gus cubaan menutup mulutnya daripada terus menjadi suara rakyat dalam pelbagai isu nasional.

"Tiada alasan munasabah dikemukakan anggota gerakan terbabit berkaitan dengan kewibawaan saya dalam mentadbir kerajaan negeri, malah rata-rata rakyat menerima baik segala inisiatif yang dimulakan demi kesejahteraan rakyat Kedah.

"Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kritikan yang saya suarakan terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) seperti yang beliau sendiri akui.

"Kritikan dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion serta peningkatan bebanan sara hidup rakyat akibat GST," katanya.

Katanya, beliau menganggap peluang berkhidmat untuk rakyat Kedah di bawah naungan Sultan Kedah sebagai satu penghormatan yang amat tinggi, malah menjunjung tinggi segala peluang, tunjuk ajar nasihat serta sokongan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

20 Januari – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah umum 14 Ketua UMNO Bahagian Kedah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO . Rayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatasi kemelut kepimpinan itu.

22 Januari – Ketua Bahagian, Wakil Rakyat serta Exco Kedah bertemu Najib di PWTC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan pertukaran Menteri Besar Kedah.

29 Januari – Najib mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi mendapatkan perkenan menggantikan Mukhriz dan mengemukakan tiga nama calon MB baru.

1 Februari- ADUN Kedah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah

2 Februari- ADUN pembangkang Kedah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah

3 Februari- Mukhriz umum letak jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 11:22 AM
Mukhriz pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Mukhriz pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin