PEMAIN T-Team, Ahmad Takiyuddin Roslan  (depan) menanduk bola sambil dihalang kapten ATM, Badrul Hisham Sufian  di Stadium Perak, Ipoh.
PEMAIN T-Team, Ahmad Takiyuddin Roslan (depan) menanduk bola sambil dihalang kapten ATM, Badrul Hisham Sufian di Stadium Perak, Ipoh.
Oleh Firdaus Hashim


Ipoh: T-Team akhirnya melengkapkan 12 pasukan bersaing dalam Liga Super musim ini selepas merampas tiket terakhir itu apabila menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi playoff di Stadium Ipoh, Perak, malam tadi.

Pasukan Pantai Timur itu nyata bijak memanfaatkan peluang kedua diberikan Usahama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mencari pengganti LionsXII yang tidak lagi beraksi di Liga Malaysia dengan menjadi pasukan terakhir beraksi dalam liga elit negara musim ini.

The Titans yang sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana musim lalu menguasai hampir 70 peratus aksi permainan yang ditunjangi dua import Makan Konate dan Tomislav Busic.

ATM yang mempertaruhkan kudrat anggota tentera, gagal mengimbangi aksi pantas skuad kendalian Rahmad Darmawan sejak dari tiupan wisel permulaan.

Benteng The Gladiators mula diuji pada minit ke-4 menerusi rembatan padu Konate yang menuju tepat ke arah penjaga gol ATM Mohamad Hafizuddin Azuhar buat menggagalkan percubaan penyerang dari Mali itu.

Konate sekali lagi menjadi duri dalam daging buat ATM apabila tiga percubaannya pada minit ke-15, 22 dan 24 hampir menggegar gawang Hafizuddin namun kesemua rembatannya sedikit tersasar.

Bagaimanapun, tanpa disangka-sangka tonggak tengah T-Team Ahmad Takiyuddin Roslan berjaya menembusi gawang pasukan tuan rumah menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-26 untuk meletakkan pelawat mendahului 1-0.

Sebelum tamat babak pertama, T-Team menambah gol kedua melalui penyudahan sempurna Tomislav Busic yang menanduk tepat selepas menyambut hantaran lintang Ahmad Takiyuddin Roslan pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, ATM yang dibimbing Azhar Abdullah memperkemaskan aksi mereka dan hasilnya merapatkan kedudukan 2-1 melalui Mohd Sukri Mat Hamidi pada minit ke-52 yang berpunca daripada situasi kelam kabut di dalam kotak penalti.

Usaha ATM untuk mencari gol penyamaan gagal dengan T-Team ampuh bertahan untuk keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan dan secara automatik dinaikkan pangkat ke saingan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:03 AM