IKAN patin masak tempoyak antara menu istimewa Restoran Ikan Bakar Tasik Raban.
IKAN patin masak tempoyak antara menu istimewa Restoran Ikan Bakar Tasik Raban.
MENAIKI bot bersiar-siar sambil menikmati keindahan Tasik Raban.
MENAIKI bot bersiar-siar sambil menikmati keindahan Tasik Raban.
JAMBATAN Raja Nazrin Shah, jambatan terpanjang di Perak.
JAMBATAN Raja Nazrin Shah, jambatan terpanjang di Perak.
HENTIAN Tasik Raban yang mampu menghilangkan letih memandu.
HENTIAN Tasik Raban yang mampu menghilangkan letih memandu.
Oleh Mohd. Sharumnisham Shahbudin


Lazimnya bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Perak dan selatan Kedah, laluan Kuala Kangsar ke Gerik digunakan jika mahu ke pantai timur.

Selepas 48 kilometer memandu dari susur keluar Kuala Kangsar, anda akan melewati sebuah daerah yang begitu damai dan indah.

Lenggong adalah daerah yang terletak hampir 100 kilometer dari Ipoh dan menjadi lokasi untuk kenderaan berhenti rehat sambil menikmati keindahan dan ketenangan Tasik Raban yang menjadi nadi kehidupan penduduk setempat.

Sebenarnya, daerah Lenggong mempunyai pelbagai tarikan yang sesuai dijadikan destinasi percutian.

Lebih menarik, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia pada 2 Julai 2012. Ini berikutan penemuan tapak zaman paleolitik atau zaman batu.

Mungkin ramai belum mengetahui di Semenanjung, ada dua kawasan yang ditemui peralatan batu berusia 75,000 tahun iaitu Kota Tampan dan Bukit Jawa yang kedua-duanya terletak di Lembah Lenggong.

Kini, artifak yang ditemui dipamerkan di Muzium Arkeologi Lenggong atau lebih dikenali sebagai Muzium Arkeologi Kota Tampan.

Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah rangka manusia berusia 11,000 tahun yang dikenali sebagai Perak Man. Muzium ini dibuka setiap hari dan masuk percuma.

Tasik Raban juga sesuai menjadi destinasi bersantai bersama keluarga. Ramai pengusaha bot pelancongan menawarkan pakej untuk melawat sekitar tasik.

Tasik buatan yang terhasil daripaa pembinaan empangan Chenderoh ini kaya dengan spesies ikan air tawar seperti loma, lampan, baung dan patin turut menjadi tumpuan kaki pancing.

Tidak hairanlah antara produk utama penduduk di sini ialah ikan pekasam. Sepanjang jalan utama di Lenggong akan kelihatan deretan gerai menjual pekasam dan menjadi buah tangan wajib bagi setiap pengunjung yang singgah di daerah ini.

Antara yang mendapat permintaan tinggi ialah pekasam ikan loma yang jarang ditemui di tempat lain.

Bagi yang ingin mandi-manda sambil menikmati deruman air terjun, Hutan Lipur Lata Kekabu sedia menanti pengunjung. Ia terletak hampir 10 kilometer dari bandar Lenggong dan kaya dengan pokok hutan seperti meranti, kempas, jelutung dan keruing.

Lokasinya mudah ditemui kerana terdapat papan tanda di jalan masuk dari laluan utama ke Gerik.

Selain keindahan alam dan tapak bersejarah, pengunjung juga tidak melepaskan peluang singgah ke Restoran Ikan Bakar Tasik Raban.

Sebaik memasuki kawasan meletak kenderaan, akan terhidu aroma ikan tasik yang sedang dibakar. Ditambah pula dengan sambal tempoyak dan ulam kampung, ia pasti membuka selera sesiapa yang berkunjung ke sini.

Daerah Lenggong juga mempunyai banyak pilihan untuk menginap. Antara yang menjadi tumpuan ialah Resort Tasik Raban dan inap desa yang diusahakan penduduk kampung.

Lokasi bersebelahan tasik dan jauh dari jalan utama mencetuskan kedamaian dan ketenangan penghuninya. Resort seliaan Majlis Daerah Lenggong ini sentiasa mendapat sambutan terutama musim cuti persekolahan.

Terdapat beberapa lagi destinasi menarik boleh dikunjungi di Lenggong seperti ladang rusa di Kampung Sumpitan dan Kampung Luak, mengabadikan kenangan di Jambatan Raja Nazrin Shah dan melakukan aktiviti meneroka gua seperti Gua Puteri dan Gua Tok Giring.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 11:37 AM