Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih terkejut menerima perkhabaran ditaja Malaysia Airlines Berhad (MAB), atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya.

Tajaan selama empat tahun itu bermula tahun ini hingga temasya Olimpik Tokyo 2020 itu memberi suntikan semangat buatnya mengejar pingat pada temasya terbesar dunia itu.

Dhabitah yang akan berlepas ke China untuk menjalani latihan berkata, tajaan MAB itu membuatkannya bertekad membuktikan kemampuan supaya kepercayaan yang diberi tidak disia-siakan.

“Tajaan ini memberi inspirasi kepada saya melakar lebih banyak kejayaan. Saya mahu buat lebih baik lagi supaya tajaan yang diberikan ini tidak sia-sia,” katanya yang dijadualkan beraksi pada siri Grand Prix Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Terdahulu MAB mengumumkan penajaan bagi tempoh empat tahun buat atlet terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Dhabitah.

Penajaan empat tahun itu meliputi tiket penerbangan pergi balik untuk kelas bisnes dalam rangkaian perkhidmatan di Malaysia, tajaan kewangan bagi program latihan dan perjalanan mereka ke Olimpik Tokyo 2020.

Dhabitah yang julung kali beraksi di Olimpik mara ke pusingan akhir 10m platform individu dan menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Dia yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara 3m papan anjal seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 8:53 AM