TERTUDUH dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TERTUDUH dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Seorang penganggur lelaki berusia 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan hingga mengakibatkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Tertuduh, Hazwan Karim didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 3 September 2015, antara 2 hingga 2.30 pagi di bilik tidur di pusat perkhidmatan memandu di Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.

Dia didakwa menampar beberapa kali muka Muhammad Danial Asyraff Abdullah hingga kepala anak teman wanitanya itu terhantuk di lantai di bilik terbabit dan mendatangkan kecederaan dan menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suhaila Shafi'uddin manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.

Majistret Mazana Sinin menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 10:33 AM