DR Mahathir  (kanan) bersama  Abdul Harith (dua dari kanan) melihat sebuah kereta Proton Preve yang bakal diedarkan.
DR Mahathir (kanan) bersama Abdul Harith (dua dari kanan) melihat sebuah kereta Proton Preve yang bakal diedarkan.
Oleh Hafiz Ithnin

Shah Alam: Proton Holdings Bhd (Proton) dan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (Suzuki) secara rasmi melaksanakan kerjasama strategik pertamanya dengan mengambil alih 25 pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan 4 cawangan berkonsep 4S (jualan, servis, alat ganti dan baik pulih) milik Suzuki bermula Jun 2015.

Menerusi pengambilalihan itu, cawangan Suzuki akan dikenali sebagai Proton Edar, tetapi masih mengekalkan logo Suzuki di 29 cawangan berkenaan dan pemilik kereta Proton pula boleh menggunakan perkhidmatan servis yang ditawarkan di cawangan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, ketika ini terdapat 48,000 pengguna kenderaan Suzuki di Malaysia dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan di semua cawangan Proton Edar seluruh negara.

“Langkah rasionalisasi untuk menamatkan jualan Suzuki di Malaysia bermula tahun lalu susulan memorandum persefahaman dan perjanjian lesen antara pihak Proton, DRB-Hicom Berhad dan Suzuki ditandatangani pada 15 Jun 2015, tetapi ia dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan iaitu pada hari ini (semalam).

“Dengan tambahan 29 cawangan Suzuki, jumlah pusat servis dan jualan berkonsepkan 1+2S, 3S dan 4S kendalian Proton Edar akan meningkat kepada 105 cawangan di seluruh negara,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu dan pengumuman pengedar baru Proton di sini, semalam.

Proton juga optimis untuk mencatatkan sasaran jualan 150,000 unit tahun ini berbanding sekitar 100,000 tahun lalu bersandarkan kepada pengenalan beberapa model baru tahun ini.

Sementara itu, Proton turut berkemungkinan menaikkan harga jualan kenderaannya selepas Tahun Baru Cina pada Februari ini memandangkan kos mengimport komponen meningkat disebabkan penyusutan nilai ringgit.

Harith berkata, ringgit kini lebih rendah berbanding dolar Amerika setahun lalu mempengaruhi harga komponen import Proton memandangkan 20 hingga 30 peratus daripada komponen kenderaannya diimport.

“Proton berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga sehingga Tahun Baru Cina bagi membolehkan pelanggannya menikmati kereta baru pada harga semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kelemahan ringgit menyebabkan pengeluar kereta nasional itu perlu membayar lebih bagi setiap perkhidmatan dan komponen import diperlukan dalam pembuatan kereta.

Beliau berkata, kenaikan harga jualan itu bukan membabitkan Proton saja, malah semua syarikat lain perlu membayar lebih bagi komponen diimport, terutama syarikat yang memasang (kereta) di Malaysia.

Honda Malaysia menaikkan harga kereta keluarannya sebanyak dua hingga tiga peratus tahun ini, manakala UMW Toyota Motor mengumumkan bahawa syarikat juga akan menaikkan harga produknya sebanyak 4 hingga 16 peratus mulai bulan ini.

Mitsubishi Motors Malaysia juga mengambil langkah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 6:47 AM