HAFIZUL teruskan karier lakonan selepas berkahwin.
HAFIZUL teruskan karier lakonan selepas berkahwin.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas tiga tahun mengenali hati budi, pelakon Hafizul Kamal, 28, dan pasangannya Nurul Fariza Ibrahim atau Mieja, 21, sepakat untuk pernikahan pada 13 Februari ini.

Menurut bekas juara program On Air itu, percintaannya dan Mieja bermula dalam hubungan jarak jauh selama satu setengah tahun.

“Kami juga hanya bertemu buat kali pertama selepas hampir setahun berkawan. Walaupun usia Mieja masih muda, tetapi dia sangat matang dari segi pemikiran.

“Apa yang paling penting, dia juga memahami bidang kerja saya dalam bidang seni,” katanya.

Hafizul berkata, Mieja kini masih menuntut dalam tahun kedua jurusan Pengajian Bahasa Melayu Komunikasi Profesional di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Hafizul, majlis pernikahan mereka akan berlangsung di kediaman keluarga Mieja di Jerteh, Terengganu pada sebelah pagi 13 Februari ini.

Majlis persandingan sebelah pihak lelaki pula berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Februari depan.

“Kami juga sepakat merahsiakan jumlah wang hantaran kahwin dan hanya untuk pengetahuan ahli keluarga saja,” katanya.

Tidak menyesal kahwin muda

Hafizul juga mengakui sudah bersedia melangkah ke alam rumah tangga seterusnya membina keluarga.

“Saya tidak menyesal berkahwin pada usia muda kerana percaya soal jodoh adalah ketentuan Allah.

“Saya juga tidak bimbang kehilangan peminat apabila sudah berkahwin kerana peminat kini sudah bijak menilai bakat artis yang mereka minati dan bukan kerana status mereka,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seni pula, kata Hafizul, dia akan meneruskan karier lakonan selepas berkahwin.

“Alhamdulillah, saya masih sibuk memenuhi undangan berlakon sampai sekarang. Malah, saya masih lagi terbabit dengan penggambaran sehingga menjelangnya hari persandingan kami nanti.

“Insya-Allah, saya percaya, rezeki tetap ada walaupun sudah berkahwin nanti. Saya juga baru selesai penggambaran drama Bodyguard dan masih lagi menyiapkan baki penggambaran drama Tentang Hati 2 untuk saluran RTM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 12:13 PM