SHAFIE (dua dari kanan) menunjukkan pistol, topeng dan peralatan digunakan dua penjenayah. FOTO Mohd Sabran Md Sani
SHAFIE (dua dari kanan) menunjukkan pistol, topeng dan peralatan digunakan dua penjenayah. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


IMPIKAN wang tebusan RM30.5 juta, sebaliknya nyawa melayang.

Itu padah menimpa dua penjenayah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan membabitkan kes culik ahli perniagaan di Ladang Sawit Lot 193, Jalan Meta, Sekakap, Mersing, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail berkata, suspek ditumpaskan anggota Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) melalui operasi Op Kesan dan Op Tutup, jam 2 pagi semalam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis memburu dua penjenayah terbabit selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan ahli perniagaan berusia 41 tahun jam 8.45 pagi, 17 Disember lalu.

“Mangsa diculik empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan dua pistol ketika keluar dari rumahnya di Taman Gaya, Ulu Tiram.

“Berikutan itu keluarga mangsa membuat laporan selepas suspek meminta wang tebusan SG$10 juta (RM30.5 juta) daripada mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Katanya, bertindak atas laporan, polis menubuhkan pasukan siasatan khas dibantu anggota Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman termasuk Bahagian Operasi Khas (D8) dan Pasukan Siasatan Teknikal.

“Pada hari keenam (kelmarin) pihak keluarga mangsa bersetuju membayar tebusan seperti diminta penjenayah pada jam 8.30 malam. Susulan itu, pasukan khas mengesan kedudukan mangsa ditahan di dalam kereta di ladang di Mersing.

“Ketika pasukan kami menghampiri kereta itu, mereka dihujani beberapa das tembakan mengakibatkan seorang pegawai serbuan cedera.

“Pasukan serbuan membalas tembakan dan suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri ke ladang sawit berhampiran,” katanya.

Menurutnya, pegawai polis itu cedera akibat terkena tiga das tembakan.

“Namun hanya dua tembakan menembusi kaki kiri dan paha kanan manakala satu lagi terkena kepala tali pinggang.

Menurutnya, polis mengadakan Op Kesan dan Op Tutup di Mersing serta daerah sempadan dengan bantuan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.

Katanya, pada jam 2 pagi semalam, anggota polis bertembung semula dengan dua penculik di ladang kelapa sawit berkenaan.

“Kedua-dua penculik melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan. Berlaku insiden berbalas tembakan sebelum kedua-dua penjenayah tumpas,” katanya.

Katanya, dua pistol semi auto 9 milimeter (mm) 45 mm jenis kaliber ditemui pada mayat dua penjenayah itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek bertopeng terbabit berusia 39 dan 52 tahun.

“Pegawai polis yang cedera ditembak itu dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital swasta di daerah ini.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (FIPA) 1971.

“Polis mengesan rakan sepenjenayah yang terbabit dalam penculikan itu dan disyaki masih bebas,” katanya.

Semakan mendapati dua suspek yang terbunuh itu ada rekod kesalahan lampau termasuk samun dan senjata api.

“Kumpulan penjenayah itu didapati terbabit dalam kes culik awal tahun lalu. Polis mengesan saki-baki ahli kumpulan ini,” katanya.

SHAFIE (tengah) menziarahi Muhamad Riduan yang cedera ditembak di Hospital Gleneagles Medini, semalam. FOTO ihsan PDRM
SHAFIE (tengah) menziarahi Muhamad Riduan yang cedera ditembak di Hospital Gleneagles Medini, semalam. FOTO ihsan PDRM

Niat bunuh tebusan selepas dapat wang

Berpindah-randah dan dikurung di beberapa lokasi dalam keadaan kedua-dua tangan diikat rantai besi, selain kedua-dua mata ditutup sepanjang tempoh seminggu diculik.

Itu pengalaman menakutkan dilalui ahli perniagaan yang menjadi mangsa culik empat lelaki tidak dikenali ketika mahu keluar makan di warung di Taman Gaya, Ulu Tiram di sini, pada 17 Disember lalu.

Mangsa berusia 41 tahun, diculik kumpulan penjenayah yang disifatkan paling ganas kerana menggunakan pistol semi auto selain mahir menggunakan senjata api itu.

Bahkan sepanjang menjadi tawanan, nyawa ahli perniagaan produk plastik itu ibarat telur di hujung tanduk berikutan penjenayah merancang membunuh mangsa walaupun selepas mendapat wang tebusan RM30.5 juta.

Berkongsi maklumat itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail berkata, pihaknya mengambil tindakan drastik selepas mendapat maklumat mangsa dibunuh selepas wang tebusan dibayar.

“Sepanjang tempoh diculik, mangsa dikurung di beberapa tempat dengan kedua-dua tangannya digari rantai besi sebelum diselamatkan melalui operasi Op Kesan dan Op Tutup,” katanya, semalam.

Beliau berkata, episod penculikan itu terbongkar selepas keluarga mangsa membuat laporan berhubung kejadian.

“Dalam laporannya, mangsa diculik empat lelaki bertopeng dengan bersenjatakan dua pistol,” katanya.

Menyentuh mengenai kejadian, katanya, pihaknya yakin suspek antara kumpulan culik terkenal dalam kegiatan itu termasuk mendapatkan wang tebusan.

“Sebelum ini, polis menumpaskan ketua kumpulan terbabit dan dituduh di mahkamah Johor Bahru. Kami percaya saki-baki kumpulan itu masih meneruskan kegiatan penculikan.

“Bagaimanapun, kumpulan itu tidak terbabit kegiatan kongsi gelap, tetapi ada rekod jenayah lain berkaitan senjata api, dadah dan samun,” katanya.

Katanya, pihaknya mengesan lima hingga enam individu dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.

Sementara itu, beliau turut melawat pegawai polis, Superintendan Muhamad Riduan Manap @ Saif yang tercedera ditembak penjenayah di Hospital Gleneagles Medini, Iskandar Puteri Johor, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:30 AM