MERCEDES-AMG S 63 Coupe.
MERCEDES-AMG S 63 Coupe.
MEWAH ruang dalaman Mercedes-AMG S 63 Coupe.
MEWAH ruang dalaman Mercedes-AMG S 63 Coupe.
REKAAN yang tampak kemas bagi Mercedes-AMG C 63 S.
REKAAN yang tampak kemas bagi Mercedes-AMG C 63 S.
RUANG kabin seperti jentera sport bagi Mercedes-AMG C 63 S.
RUANG kabin seperti jentera sport bagi Mercedes-AMG C 63 S.
MERCEDES-AMG GT S.
MERCEDES-AMG GT S.
RUANG kokpit yang padat bagi Mercedes-AMG GT S.
RUANG kokpit yang padat bagi Mercedes-AMG GT S.
Oleh Erywan Norshal


Jelmaan AMG. Ia bukannya calang-calang talaan biasa yang ada pada produk kenderaan jenama Jerman iaitu Mercedes-Benz.

Kebiasaan, talaan AMG sepenuhnya meningkatkan lagi imej agresif, menyalurkan prestasi enjin mantap, kestabilan dalam pengendalian serta menerima sentuhan lebih banyak produk gentian karbon.

Harganya pula sudah tentu lebih tinggi tetapi bagi peminat tegarnya yang mahukan kelainan dengan memiliki pakej mewah dan berprestasi, sudah pasti tidak mempedulikan faktor itu.

Bagi menguji keupayaannya, penulis diberi peluang memandu kereta koleksi idaman Mercedes-Benz merangkumi Mercedes-AMG GT S, Mercedes-AMG C 63 S dan Mercedes-AMG S-Class Coupe.

Mercedes-AMG S 63 Coupe

Ini adalah model baru diperkenalkan oleh MBM dan memiliki enjin paling berkuasa dengan padanan AMG 5.5 liter V8 biturbo yang terdaya menghasilkan kuasa maksimum sehingga 585 hp. Jentera paling mahal dalam rangkaian MBM itu lepas dijual RM1,493,888 tanpa insurans, turut memiliki enjin BlueDirect yang paling berkuasa dalam keluarganya.

Mercedes-AMG S 63 Coupe adalah model terkini yang menerima manfaat daripada pelaksanaan sistematik strategi Prestasi Ringan AMG di mana ia lebih ringan hingga 65 kilogram. Pengurangan itu diaplikasikan dengan penggunaan bateri lithium-ion, rim aloi AMG dan brek berprestasi tinggi AMG.

Malah, pengurangan itu memberi kelebihan dalam mempertingkatkan pemanduan dinamik serta jimat minyak.

Menariknya model ini, ia dilengkapi suspensi sport berdasarkan ‘Magic Body Control’ dengan membolehkan badan kenderaan condong ke arah dalam bagi mengurangkan daya sisi untuk meningkatkan keseronokan pemanduan.

Dari segi pemanduan, enjinnya tidak terlalu agresif dan lebih mudah dikawal berbanding Mercedes-AMG GT S.

Jika memerlukan kuasa yang lebih, jentera ini tidak mengecewakan dalam menyalurkan prestasinya apabila mencatatkan 4.3 saat apabila memecut 0-100 km/j. Biarpun berat jentera ini hampir dua tan, ia berupaya memecut kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

Mercedes-AMG C 63 S

Jentera ini adalah paling berkuasa dalam keluarga W205 C-Class dan menjadi varian AMG paling laris dijual pada peringkat global.

Reka bentuknya hampir sama seperti varian biasa Mercedes-Benz C-Class tetapi tampak sporty bersama logo V8 Biturbo pada sisinya, selain jeriji radiator jenis bilah berkembar dengan perkataan AMG. Malah, logo AMG menghiasi banyak ruangan luarannya untuk menampilkan gaya eksklusif jentera berpretasi itu.

Selain imej sporty, kekuatan Mercedes AMG C 63 S terletak pada rangkaian kuasa bersesaran 4.0 liter biturbo lapan silinder yang hampir sama digunakan pada Mercedes-AMG GT. Biarpun kuasa maksimum menyamai Mercedes-AMG GT, penulis berasakan jentera ini sangat ‘best’ kerana mengikut kemahuan pemandunya.

Ini berikutan kuasa dibekalkan kurang responsif sedikit berbanding Mercedes-AMG GT dan bersesuaian dengan gaya pemanduan penulis yang tidak terlalu agresif.

Namun, jentera yang dijual pada RM698,888 tanpa insurans ini boleh memecut 0-100 km/j dalam hanya 4 saat dengan catatan kelajuan tertinggi 250 km/j.

Saiznya tidak besar serta dilengkapi suspensi AMG Ride Control yang boleh diubah tiga peringkat memudahkan untuk mengendalikannya.

Sistem ekzos dengan teknologi flap khas menghasilkan bunyi yang garang. Bunyi enjin turut berbeza sekiranya memilih mod transmisi AMG Dynamic sama ada Comfort, Sport, Sport+, Individual atau Race.

Mercedes-AMG GT S

Ini adalah kenderaan paling menarik dalam rangkaian Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang berharga RM1,125,888 tanpa insurans.

Jika dilihat pada harga itu, ia tidak terlalu mahal sekiranya dibandingkan dengan kenderaan dalam segmen sama yang ada di pasaran di negara ini.

Biarpun dalam ‘golongan’ segmen sport mewah, ia menjadi produk lengkap apabila dibekalkan prestasi menyamai jentera perlumbaan, selain lebih praktikal dan cekap untuk pemanduan harian.

Dalam barisan kenderaan AMG, penulis mengakui bahawa kereta ini adalah paling mencabar dalam sesi pandu uji berkenaan. Tidak sukar untuk mengendalikannya tetapi pedal minyaknya terlalu responsif kerana sedikit tekanan yang dikenakan memberi pecutan luar biasa.

Rangkaian kuasa V8 bersesaran 4.0 liter biturbo dikatakan kurang mesra kerana terlalu ‘liar’ apabila menghasilkan kuasa sehingga 510 PS dengan tork setinggi 650 Nm. Memandangkan masa ‘pengenalan’ kami terlalu singkat dengan diberikan hanya kira-kira 25 minit terpaksalah penulis menyesuaikan diri dengan segera bagi menguji secara maksimum jentera berkenaan.

Dari segi pengendalian, ia memberi kestabilan dan sememangnya mantap kerana bentuknya yang rendah serta lebar sekali gus mudah memasuki atau keluar dari selekoh.

Bunyi ekzos yang garang juga meningkatkan lagi keinginan penulis untuk menekan pedal minyak secara maksimum tetapi tidak dapat melaksanakannya memandangkan laluan disajikan adalah jalan biasa serta sibuk dengan pengguna lalu lintas lain.

Bagaimanapun berdasarkan spesifikasinya, jentera yang menggunakan transmisi tujuh kelajuan klac-berkembar AMG Speedshift itu cuma memerlukan 3.8 saat untuk memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j). Ia juga berupaya memecut sehingga 310 km/j.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:02 AM