Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Wanita yang maut dalam kebakaran di Taman Pertama, di sini awal pagi tadi dikenali sebagai Lai Yee Leng berusia 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua mangsa lagi yang terbabit dalam kebakaran itu adalah wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 66 tahun.

"Dua mangsa terbabit masih tidak sedarkan diri dipercayai akibat sesak nafas terhidu asap dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian pula dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Bagaimanapun difahamkan kes kebakaran berkenaan dipercayai terdapat unsur khianat susulan penemuan tong mengandungi petrol di lokasi kejadian oleh bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 12:43 PM