NILAI estetika Somerset House yang menjadi bangunan ikonik London.
NILAI estetika Somerset House yang menjadi bangunan ikonik London.
Teks dan gambar Hartini Mohd Nawi


Beberapa hari berada di kota London ketika membuat liputan Pelancaran Warna AkzoNobel (Dulux) 2016 di Somerset House, baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis mengunjungi lokasi menarik dan merakam gambar untuk kenang-kenangan.

Menginap pula di Apex Temple Court Hotel, Fleet Street yang turut menjadi lokasi penginapan popular wartawan dari seluruh dunia.

Malah, hotel mewah dan eksklusif itu turut dicat menggunakan produk AkzoNobel.

Hanya berjalan kira-kira 10 minit menuju ke Somerset House memberi peluang kepada penulis merakam ragam dan suasana sekitarnya. Kita sedia maklum, suasana di negara maju jauh berbeza dari segenap segi.

Somerset House antara bangunan neoklasik terbesar di selatan Strand di pusat bandar itu.

Sarat dengan nilai sejarah, ia direka Sir William Chambers pada tahun 1776.

Ia kemudian diubah suai saiznya menjadi lebih besar ketika zaman Victoria iaitu pada bahagian timur dan barat.

Ketika musim panas, anda pasti dapat menyaksikan liuk-lintuk 55 air berpancuran pada bahagian luar Somerset House.

Pada musim sejuk pula, ia menjadi gelanggang meluncur ais.

Seharian sibuk membuat liputan, ketika malamnya kami dijemput menghadiri makan malam di The Gherkin.

Menikmati sajian koktel di tingkat paling tinggi bangunan unik itu juga menjadi kenangan sukar dilupakan kerana dari situ pemandangan keseluruhan London bagaikan dari atas awan dalam suasana malam.

The Gherkin turut dikenali sebagai 30 St Mary Axe yang siap dibina pada Disember 2003 dan dibuka pada April 2004.

Ia mempunyai 41 tingkat dengan ketinggian 180 meter. Bangunan itu juga menjadi simbol ikonik London dan direka dalam seni bina kontemporari.

Awal pagi esoknya selepas sarapan, kami dibawa pula meninjau keunikan seluruh London dari bangunan The Shard.

Bangunan pencakar langit 95 tingkat di Southwark antara yang tertinggi di Eropah Barat dan melangkaui 100 tahun usia binaannya.

Pembinaan The Shard bermula pada Mac 2009, dirasmikan pada 6 Julai 2012 dan dibuka kepada orang ramai pada 1 Februari 2013.

Menerusi ketinggian 309,6 meter, The Shard kini tersenarai antara 92 bangunan tertinggi di dunia, keempat tertinggi di Eropah dan bangunan tertinggi di Kesatuan Eropah.

Seterusnya menikmati makan tengah hari di St James’s Park pula antara pengalaman sukar dilupakan. Apatah lagi berpeluang menikmati suasana sekitar dalam hujan lebat.

Ia menjadi taman diraja pertama yang dibuka kepada umum dan menyediakan habitat untuk pelbagai spesies berbeza.

Sekadar berjalan kaki singkat dari tiga istana iaitu St James, Westminster dan Buckingham Palaces, taman ini menerima kunjungan 5.5 juta pengunjung setahun.

Seterusnya kami mengunjungi Buckingham Palace yang menjadi kediaman rasmi kerajaan Britain sejak tahun 1837.

Lebih 50,000 pelawat dalam setahun mengunjungi istana itu untuk meninjau ruang tertentu yang dibenarkan termasuk ruang makan dan taman diraja.

Pelbagai cenderahati dan koleksi seni diraja turut dapat disaksikan yang sememangnya antara karya atau koleksi seni utama di dunia.

Pagi hari terakhir sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Heathrow untuk penerbangan balik ke Malaysia, penulis menggunakan kelapangan yang ada untuk ke Buckingham Palace sekali lagi bagi merakam gambar di bahagian pintu depan istana itu.

Saya bergerak dalam kumpulan kecil bersama dua lagi wartawan dari Indonesia iaitu Hilda B Alexander dan Anton Chrisbiyanto.

Penulis mengenali Hilda ketika kami sama-sama membuat liputan Festival Seni Bina Dunia di Singapura pada tahun 2014 dan pertemuan kali ini lebih bermakna.

Kami menaiki bas dari hotel sebelum berjalan menuju ke Buckingham Palace sambil merakam sebanyak mungkin gambar persekitaran dan bangunan unik termasuk Admiralty Arch.

Pulang dari Buckingham Palace, singgah pula di beberapa kedai cenderahati. Petangnya, saya dan seorang lagi wakil media Malaysia dari akhbar The Star, Eric Chan bersama Hilda serta Anton menuju ke Lapangan Terbang Heathrow untuk penerbangan pulang ke destinasi masing-masing.

Disebabkan jadual penerbangan dengan wakil media antabangsa yang lain tidak sama, jadi kenangan melawat Buckingham Palace selepas makan tengah hari di St James’s Park hari sebelumnya adalah pertemuan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:04 AM