Oleh Siraj Mohd Zaini dan Muhammad Yusri Muzamir dan Khairul Najib Asrullah Khan


Kuala Lumpur: Sesi persekolahan di kebanyakan negeri bermula hari ini dengan Selangor mencatatkan jumlah pelajar Tahun Satu paling ramai.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata, 91,509 murid Tahun 1 mendaftar pada sesi persekolahan 2016 di Selangor dan jumlah itu akan bertambah berikutan masih ada ibu bapa mendaftar anak mereka pada hari ini.

"Sepatutnya perkara itu tidak berlaku pada zaman teknologi canggih ketika ini kerana mereka boleh mendaftar melalui sistem dalam talian.

"Mungkin atas beberapa sebab, mereka tidak dapat mendaftar anak mereka dan menunggu hari persekolahan dibuka," katanya ditemui selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya, Klang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Nor dan Guru Besar SK Taman Klang Jaya, Ahmad Fuad Abdul Rani.

Kamalanathan kemudian melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima, Klang.

Di PULAU PINANG, 19,123 murid Tahun Satu di negeri ini memulakan sesi persekolahan 2016, mulai hari ini.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman, berkata, keseluruhan murid berkenaan ditempatkan di 687 kelas di semua sekolah di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tidak membabitkan pendaftaran murid Tahun Satu di sekolah swasta di negeri ini.

"Jumlah murid Tahun Satu yang mendaftar pada tahun ini menurun sedikit berbanding tahun lalu, iaitu seramai 21,962 murid.

"Penurunan bilangan ini mungkin akibat penurunan bilangan penduduk di negeri ini, sebaliknya bukan kerana faktor ibu bapa mendaftarkan anak mereka ke sekolah swasta," katanya selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Genting, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaari berkata, seramai 22,284 pelajar Tingkatan Satu di negeri ini turut memulakan sesi persekolahan 2016, hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, 16,723 murid tahun satu dan 18,088 pelajar tingkatan satu memulakan sesi persekolah di seluruh negeri ini hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rusni Abd Jalil berkata, negeri ini merekodkan keseluruhan 102,312 murid bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah 90, 649 pelajar bagi tahun ini.

"Tahun lalu, 16,861 murid tahun satu mendaftar namun kadar kelahiran pada tahun 2009 di negeri ini adalah 16,615.

"Walaupun terdapat kekurangan murid tahun satu berbanding tahun lalu namun jika dibandingkan dengan kadar kelahiran berlaku perningkatan.

"Kita percaya terdapat ibu bapa yang berhijrah ke negeri ini membuatkan anak mereka turut bersekolah di sini," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan LBJ, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 1:30 PM
GELAGAT murid tahun satu, Uzma Wajihah Mokhtar, 7 (tengah) yang baru memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lee Chee pada hari pertama persekolahan. FOTO Amir Irsyad Omar
GELAGAT murid tahun satu, Uzma Wajihah Mokhtar, 7 (tengah) yang baru memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lee Chee pada hari pertama persekolahan. FOTO Amir Irsyad Omar