Syabu dan tiga laras senapang buatan sendiri yang dirampas selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita ditahan.
Syabu dan tiga laras senapang buatan sendiri yang dirampas selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita ditahan.
Junaidi Ladjana


Labuan: Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dan merampas 37 tiub berisi dadah jenis syabu seberat 6.52 gram dan merampas tiga senjata api buatan sendiri berserta guli sebagai peluru di Jalan Tanjung Kubong, Labuan, jam 3 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, ketika kejadian dua anggota unit peronda polis yang sedang membuat rondaan, menahan sebuah kereta pacuan empat roda yang berada di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati tiga lelaki dan seorang wanita berada dalam kereta dan siasatan menemui satu tin aluminium daripada seorang suspek. Pemeriksaan lanjut menemui 37 tiub mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6.52 gram bernilai RM1,000.

"Pemeriksaan seterusnya menemui dua laras senjata api buatan sendiri dan apabila pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan kejadian, polis menemui satu lagi senapang buatan sendiri yang disembunyikan dalam longkang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas peluru berupa guli dan semua yang ditahan berusia antara 30-an hingga 40-an itu dibawa ke IPD Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 3:58 PM