BUBUR nasi di Lodge Paradize.
BUBUR nasi di Lodge Paradize.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Berasa seperti menikmati hida­ngan di rumah, juadah Restoran Paradize Poolside Coffeehouse menjadi tumpuan baik golongan VIP sehinggalah kepada orang biasa.

Lokasinya di tengah ibu kota Kuala Lumpur membuatkan restoran ini menampilkan pelbagai hidangan termasuklah masakan panas Melayu, Cina dan barat sesuai dikunjungi peminat makanan tegar sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut pemilik restoran Woo Siew Chuen, restorannya menerima kunjungan lebih 80 peratus pelanggan Melayu.

Katanya, tarikan utama dalam senarai pilihan menu ialah hidangan bubur Teo Chew iaitu bubur nasi bersama lauk sampingan terdiri daripada daging, sayung kangkung belacan dan telur masin.

“Saya kagum dengan pengunjung Melayu terutamanya kerap memesan bubur tradisi etnik Cina dipanggil bubur Teo Chew. Biasanya kami makan untuk sarapan pagi tetapi restoran kami menyajikan untuk makanan petang sehingga awal pagi.

“Saya lihat mereka ‘pandai’ makan bubur ini baik dewasa hinggalah kanak-kanak mereka tahu menikmati masakan bubur ini. Menariknya mereka menikmati bubur ini untuk snek larut malam,” katanya.

Tambah Chuen, dengan menu lebih 100 pilihan baik selera tempatan mahupun barat membuatkan ianya menjadi pilihan pengunjung terdiri daripada keluarga.

“Menu merentasi selera pelbagai peringkat umur membuatkan restoran saya mendapat perhatian pengunjung yang terdiri daripada pelanggan datang bersama keluarga.

“Malah terdapat tiga generasi datang serentak menikmati masakan di restoran saya. Antara hidangan makanan laut yang popular termasuk juadah Creamy Salted Egg Crab diganding­kan bersama roti Mantou iaitu snek tradisi masyarakat Cina.

“Pilihan masakan berkuah seperti kari hijau serta tomyam juga kerap mendapat permintaan pelangan di sini selain masakan ikan kukus mahupun Oatmela Prawn bagi pelang­gan yang mahukan hidangan lebih ringkas,” katanya.

Tambahnya lagi penyediaan minuman serta pencuci mulut tidak kalah dengan kualiti penyediaan makanan.

“Konsep restoran kami lebih kepada restoran keluarga berasaskan juadah kegemaran masyarakat tempatan. Baik saiz hidangan sehinggalah kepada kualiti di meja kami cuba berikan terbaik.

“Jadi kami turut mendapat pujian menerusi kualiti minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik selain pilihan pencuci mulut seperti affogato, cendol, ais kacang serta kelapa laut bersama madu cukup sempurna sebagai penutup hidangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:00 AM