Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menguatkuasakan pengharaman rokok elektronik atau vape bermula Jumaat ini, selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang semalam, memutuskan penggunaannya adalah haram.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Osman Muda berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan perjumpaan dan berbincang dengan semua peniaga vape di seluruh negeri Ahad depan.

"Kerajaan negeri bersetuju dengan keputusan pengharaman penggunaan vape seperti diputuskan Majlis Fatwa Negeri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, semua peniaga vape akan diberi penjelasan mengenai bahaya penggunaan vape.

Hari ini, Mufti Terengganu Datuk Dr Zulkifly Muda mengesahkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Kali Ke-4 yang bersidang semalam, sebulat suara memutuskan penggunaan kedua-dua alat itu adalah haram mengikut Islam berasaskan dalil serta hujah al-Quran dan hadis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 7:11 PM