PEMANDU teksi meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
PEMANDU teksi meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Pemandu teksi berusia 67 tahun maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh lelaki tidak dikenali di Jalan Pasir Mas-Salor, dekat persimpangan lampu isyarat Kampung Pendek, di sini.

Kejadian berlaku antara 1 hingga 2 petang tadi ketika mangsa mahu menghantar seorang penumpang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, mangsa sebelum itu diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal.

"Apabila tiba di tempat kejadian, suspek memecahkan cermin belakang teksi menyebabkan mangsa keluar daripada kenderaannya.

"Dia kemudian ditikam dipercayai dengan senjata tajam dan meninggal dunia serta merta. Penumpang teksi itu tidak cedera, kemudian lari menyelamatkan diri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 6:42 PM