Oleh Mazizul Dani

Kemaman: Riak gembira dan teruja dapat dilihat di wajah 150 murid dan pelajar anak yatim serta miskin dari 26 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal apabila menerima kelengkapan sekolah dan pakaian sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Masjid Jamek, Kijal, dekat sini, semalam.

Mereka memilih sendiri kelengkapan sekolah dan pakaian itu di Giant Superstore Kijal, dekat sini.

Penyampaian sumbangan 'Kembali ke Sekolah' itu disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Mohd Irsyad Mohd Suhaimi, 8, berkata, dia seronok dapat membeli kelengkapan sekolah yang bakal bermula tidak lama lagi.

"Seronok dapat beli baju sekolah, seluar, stoking dan alat tulis," katanya yang turut menerima beg sekolah, tuala dan botol air.

Seorang ibu kepada penerima bantuan, Roslina Othman, 40, berkata, dia berterima kasih kepada Harian Metro atas sumbangan kepada dua anaknya.

"Terima kasih kepada TKHM, semoga murah rezeki atas bantuan yang diberikan kepada anak-anak saya," katanya yang juga ibu tunggal.

Turut hadir, Pengurus Besar Giant Superstore Kijal Nasharizam Nasir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat, Pegawai Perhubungan Korporat Giant Dairy Farm Malaysia Roseta Mohd Jaafar, Setiausaha Penyelaras UMNO DUN Kijal Rosali Taha dan Imam Masjid Jamek Samsudin Mohamad.

Giant sebagai penaja utama menyumbang RM100 untuk murid sekolah rendah dan RM150 untuk pelajar sekolah menengah setiap seorang.

Program TKHM turut dimeriahkan dengan kehadiran 600 penduduk kampung yang menjamu selera dengan gulai kawah.

Menurut Othman , program amal itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk mengurangkan beban mereka menyediakan kemudahan persekolahan untuk anak.

"Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk kampung. Memang murid dan pelajar yang diberi bantuan amat gembira kerana mereka daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

"Kita juga mendapat sokongan yang terbaik daripada Masjid Jamek Kijal, penduduk dan penaja-penaja yang bermurah hati termasuk Kolej Tati Terengganu, Naza Motor, Honda Motor dan Majlis Perbandaran Kemaman," katanya.

Beliau berkata, kemungkinan program kali ini ialah yang terakhir untuk 2015 kecuali jika berlaku sebarang bencana yang memerlukan bantuan seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 1:21 AM
Mustapa (kiri)  bersama Roseta (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penerima sumbangan pada majlis penyampaian bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ sempena TKHM, sambil diperhatikan Othman Mamat (kanan) dan Samsudin di Masjid Jamek Kijal. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mustapa (kiri) bersama Roseta (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penerima sumbangan pada majlis penyampaian bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ sempena TKHM, sambil diperhatikan Othman Mamat (kanan) dan Samsudin di Masjid Jamek Kijal. FOTO Muhd Asyraf Sawal