RAMAN mendemonstrasikan kaedah Skype.
RAMAN mendemonstrasikan kaedah Skype.
PELAJAR sekolah dan guru menunjukkan kepada dunia luar mengenai Malaysia.
PELAJAR sekolah dan guru menunjukkan kepada dunia luar mengenai Malaysia.
ANTARAMUKA Skype-in-the-Classroom.
ANTARAMUKA Skype-in-the-Classroom.
Oleh Afiq Hanif dan Wan Nur Ameera Meor Rozman


Seiring perkembangan teknologi dunia di hujung jari dan tanpa sempadan, Microsoft mengambil inisiatif dalam meraikan kaedah pembelajaran tanpa sempadan, Skype-a-Thon.

Langkah yang dilaksanakan oleh Microsoft terhadap ‘Skype-in-the-Classroom’ bertujuan menghubungkan semua bilik darjah di seluruh dunia selain untuk mempamerkan cara teknologi boleh digunakan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Program yang berlangsung selama 48 jam pada 3 hingga 4 Disember lalu berjaya mengumpulkan ramai pendidik dan pelajar dari seluruh dunia sekali gus menyumbang kepada pencapaian matlamat satu juta batu maya menggunakan Skype sebagai bahasa pengantar utama komunikasi.

Antara institusi pendidikan antarabangsa yang mengambil bahagian termasuk sekolah dari India, Australia, Mexico, Ireland, China, Israel, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Finland dan Korea Selatan.

Bagi menyokong usaha itu, pelajar Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan dan menyumbangkan jarak kira-kira 14,000 kilometer (km) secara maya daripada jumlah keseluruhan 4.9 juta km untuk tempoh dua hari.

Seramai 19 pelajar terpilih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas, Johor Bahru menyertai cabaran #Mystery Skype untuk berkomunikasi dan bertukar-tukar ilmu, pendapat serta cerita bersama pelajar dari sekolah Redfields School di India dan Sekolah Rendah Balatonbogl·r di Hungary.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, beliau kagum dengan kemampuan minda anak muda yang sentiasa bersikap ingin tahu dan sentiasa bersedia untuk menerima pengetahuan baru.

“Dunia moden hari ini membuka peluang baru yang cerah untuk kanak-kanak ini kerana mereka dapat menggunakan dan memanfaatkan teknologi abad ke-21 bagi memberi kuasa kepada proses pembelajaran mereka.

“Kami amat komited ke arah memperkasakan peng­gunaan ini dan Skype dilihat sebagai platform terbaik untuk menghubungkan pelajar dari seluruh dunia dalam usaha untuk bertukar pandangan dan idea,” katanya.

Selain itu menurut Raman, penggunaan Skype di dalam kelas bukan sahaja menyediakan peluang pembelajaran dan pengajaran tanpa sempadan kepada pelajar, tetapi juga kepada pendidik.

Dengan merekodkan jarak sehingga 3.04 juta batu maya secara keseluruhan di peringkat global, program ini berupaya menunjukkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk mening­katkan pengalaman pembelajaran.

Sepanjang tempoh dua hari, peserta boleh memilih untuk menyertai pelbagai jenis aktiviti pendidikan yang disediakan seperti #Mystery Skype iaitu permainan teka-teki untuk meneka lokasi rakan mereka di negara lain yang berupaya menggalakkan pemikiran kritikal.

Malah, dalam proses terbabit, mereka juga dapat mempelajari berkaitan geografi negara luar, memahami budaya berbeza sekali gus dapat meluaskan perspektif sejarah dunia.

Selain itu, peserta juga diberikan ruang untuk berbincang dengan penceramah jemputan dan pelajar berpeluang untuk berhubung dengan pendidik serta pakar dari seluruh dunia datang daripada pelbagai latar belakang industri termasuk zoologi, jurutera perisian dan ahli sains yang merungkaikan pelbagai kisah pengalaman hidup sebenar.

Seiring dengan moto dunia tanpa sempadan, Microsoft juga mengadakan lawatan lapangan maya yang memberikan pelajar peluang ‘perjalanan’ untuk meneroka tujuh benua di dunia di dalam persekitaran bilik darjah.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, Inez Farahannan yang mengambil bahagian dalam permainan #Mystery Skype bersama pelajar dari Hungary berkata, beliau teruja kerana diberi kesempatan untuk mengambil bahagian kerana ia dapat membawa dirinya untuk melihat budaya masyarakat lain.

“Saya amat teruja untuk belajar mengenai negara lain dan berkomunikasi dengan orang lain dari seluruh dunia.

Walaupun dipisahkan oleh jarak yang besar, kami tetap dapat belajar budaya mereka,” katanya.

Antara faktor penting dalam pendidikan termasuk bertukar-tukar pandangan dan mengetahui dunia luar dalam pelbagai kaedah.

Microsoft misalnya selepas mengambil alih Skype sebagai alat untuk berkomunikasi menerusi Internet memperkenalkan sesi khas Skype untuk pelajar di seluruh dunia bertukar pandangan dan pengalaman.

Faktor kejauhan kini mampu dibantu oleh teknologi yang terkenal dengan jolokan ‘dunia tanpa sempadan.’

Kemudahan ini juga secara tidak langsung turut menjadikan dunia semakin mengecil.

Bukan saja pelbagai maklumat boleh dicapai di hujung jari dengan kadar segera, jaringan perhubungan juga semakin meluas hingga jarak jutaan batu bukan lagi penghalang.

Internet sebagai pemboleh dan kini dilihat sebagai ruang untuk bersosial. Cuma, ia berlangsung secara online.

Platform seperti ini amat sesuai untuk mengeratkan hubungan dunia, lebih-lebih ia mudah dicapai di mana saja walaupun kita dalam kesibukan dengan aktiviti harian.

Rangkaian sosial di Internet dikatakan bermula dengan kewujudan laman Classmates.com pada 1995 sebagai ruang kepada peng­gunanya menjejak rakan persekolahan dan teman universiti mereka.

Konsep yang dibawakan laman sosial adalah berdasarkan jaringan keluarga atau rakan yang dimiliki individu yang mendaftar akaun atau profil mereka di laman ini.

Setiap pengguna yang mendaftar mempunyai paparan profil atau biodata diri serta senarai rakan mereka. Profil mereka ini boleh dilihat mana-mana pengunjung laman ini.

Melalui akaun di laman ini, pengguna boleh berinteraksi dengan jaringan rakan yang mereka ada serta me­ngetahui perkembangan terkini melalui maklumat yang dipaparkan pada ruangan profil.

Ia memberi lebih kebebasan kepada pengguna dalam menentukan rekaan latar profil mereka. Selain itu, mereka juga boleh berkongsi nukilan blog, buletin serta paparan audio atau video kesukaan dengan sesiapa saja yang melawat profil.

Sebenarnya teknologi komunikasi suara di antara komputer ke komputer sudah wujud sejak beberapa tahun lalu yang dinamakan Suara Menerusi Protokol Internet (VoIP).

Kini, teknologi VoIP semakin canggih. Menggunakan sambungan jalur lebar Internet seperti UniFi, pengguna boleh berbual dari komputer ke komputer tanpa menggunakan perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

Kualiti audio perkhidmatan VoIP yang terkini sudah menandingi kualiti audio perkhidmatan telefon. Walaupun kadang kala terdapat kelewatan di dalam penghantaran dan penerimaan suara perbualan, namun ia hanya masalah kecil.

Skype boleh dipindah turun di www.Skype.com. Selepas dipasang ke dalam komputer, kita hanya perlu mendaftarkannya untuk memperoleh nama pengenalan.

Untuk menghubungi rakan itu, anda hanya perlu mengklik nama rakan dan tekan butang telefon berwarna hijau untuk membuat panggilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 1:14 PM