Jamilah menerima penghargaan dari Dr. Sahruddin sambil disaksikan Mazlan. FOTO Ahmad Ismail
Jamilah menerima penghargaan dari Dr. Sahruddin sambil disaksikan Mazlan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“SEJARAH luka di hati akan dibawa hingga ke liang lahad biarpun ‘api’ di Balai Polis Bukit Kepong sudah terpadam,” kata mangsa kekejaman komunis, Jamilah Abu Bakar, 75.

Jamilah menegaskan, peristiwa serangan tragis pengganas bukan sahaja untuk membunuh anggota keselamatan malah lebih kejam berniat memastikan semua zuriat atau keturunan terhapus.

Jamilah anak kepada Konstabel Polis (PC) Allahyarham Abu Bakar Daud dan isteri, Fatimah Jaabar, antara keluarga anggota polis yang di serang pengganas komunis dalam tragedi di Balai Polis Bukit Kepong, di Muar.

Kejadian berdarah jam 2.30 pagi, 23 Februari 1950 itu, segerombolan pengganas komunis menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan 25 anggota polis termasuk keluarga mereka serta orang awam terbunuh.

Menurutnya, setiap 23 Februari, langkahnya untuk hadir ke majlis peringatan tragedi berdarah itu berasa amat berat kerana terkenangkan ahli keluarga dan pasukan keselamatan yang tumpas angkara kekejaman komunis.

“Ditakdirkan, saya terselamat ketika serangan itu untuk jadi saksi hidup dan berkongsi cerita kepada anak bangsa agar menghargai pengorbanan jiwa raga insan terdahulu demi keamanan sedia ada.

“Saya minta semua, fahamilah bahawa komunis bertindak bacul. Bayangkan pada usia empat tahun, saya yang masih memerlukan kasih sayang dan dakapan seorang ibu, tiba-tiba hilang nikmat itu sekelip mata apabila (ibu mati) dibunuh kejam di depan mata,” katanya ketika ditemui di Majlis Tahlil Dan Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Bukit Kepong di Muar, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, Pegawai Daerah Muar, Datuk Hafiz Ahmad serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor.

Jamilah berkata, dia yang juga anak bongsu serta abang kembarnya, Hassan dan Hussein kehilangan insan tersayang akibat tragedi berdarah itu.

“Ketika kejadian, abang saya, Hussein terselamat tidak berada di lokasi kejadian serangan kerana menetap di kediaman saudara di Pulau Pinang.

“Kejadian jam 2.30 pagi itu, saya disusui arwah ibu sementara Hassan pula tidur nyenyak dalam kuarters berek polis,” katanya.

Katanya, dalam keadaan peluru yang ‘berterbangan’, Abu Bakar (bapa) sempat membalas tembakan bertalu-talu komunis sebelum terkena tembakan beberapa das di badan dan lengan kiri hingga berlumuran darah.

“Melihat keadaan bapa berlumuran darah dan tidak bermaya, ibu mencapai senjata api digunakan bapa dan membalas tembakan komunis sebelum dia juga mati terkena beberapa das tembakan di badan,” katanya.

Jamilah berkata, abangnya Hassan turut terkorban terkena peluru sesat dalam kejadian itu.

“Antara tipu helah pengganas komunis ketika melakukan serangan memilih sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, bunyi letupan senjata api disangkakan bunyi mercun mengelirukan penduduk setempat ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 1:18 PM