Keadaan bumbung di kantin SMK Seri Titiwangsa Kuala Lumpur yang rosak akibat ribut, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Keadaan bumbung di kantin SMK Seri Titiwangsa Kuala Lumpur yang rosak akibat ribut, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 36 sekolah terjejas akibat ribut yang melanda ibu kota dan sekitar Selangor, kelmarin.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, kerosakan membabitkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

"Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM," katanya.

Menurut kenyataan itu, penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan segera.

"JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

"KPM sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya," katanya.

Kelmarin, hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota dan Selangor sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkna menerima kira-kira 90 kes kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan dan kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:41 PM