MOHAMAD Redzwan (dua dari kiri) berbincang bersama bekas kakitangan KAHB sebelum rundingan bersama wakil MBI Kedah di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah di sini, hari ini. FOTO M Hifzuddin Ikhsan.
MOHAMAD Redzwan (dua dari kiri) berbincang bersama bekas kakitangan KAHB sebelum rundingan bersama wakil MBI Kedah di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah di sini, hari ini. FOTO M Hifzuddin Ikhsan.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seramai 20 bekas kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) memaklumkan tunggakan gaji mereka selama sembilan bulan berjumlah RM337,000 akan dibayar secara berperingkat selama 30 bulan.

Wakil bekas kakitangan terbabit, Mohamad Redzwan Ramlee berkata, persetujuan itu dicapai Dalam rundingan bersama wakil Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah di sini, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan perbincangan terbabit, tunggakan gaji selama lima bulan akan dibayar secara penuh kepada pekerja mulai bulan hadapan dan baki empat bulan lagi dibayar selama dua tahun setengah.

"Kami berterima kasih kepada wakil MBI kerana datang berbincang dan mereka bersetuju tunggakan gaji kami akan dibayar dalam tempoh dua tahun setengah secara ansuran bulanan.

"Sebagai permulaan mereka akan bayar tunggakan gaji lima bulan dahulu pada Mei depan dan baki gaji kami yang tertunggak dibayar secara ansuran mengikut tempoh dipersetujui," katanya ketika ditemui di Pejabat JTK Kedah.

Mengulas lanjut, Mohamad Redzwan berkata, pihaknya akur dengan penyelesaian yang dicapai dan menganggap ia sebagai yang terbaik dapat dilakukan semua pihak bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, ia juga selaras dengan saranan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang mahu masalah tunggakan gaji gaji berkenaan diselesaikan secara berhemah.

"Kami juga gembira apabila MBI setuju menyelesaikan bayaran faedah notis penamatan perkhidmatan kepada 20 kakitangan KAHB yang dibuat sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

"Bagaimanapun, isu sebenar dalam masalah yang timbul ini adalah tunggakan gaji selama sembilan bulan yang perlu dilunaskan kepada bekas kakitangan KAHB berikutan kami bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Zafir Annuar Ghazali ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya berjaya mencapai persetujuan bersama bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji 20 bekas kakitangan KAHB.

Katanya, pihaknya bersetuju membayar tunggakan gaji berkenaan mengikut yang diputuskan dalam perbincangan berkenaan.

Bulan lalu, kumpulan kakitangan KAHB membuat aduan di Pejabat JTK Kedah selepas mendakwa tidak dibayar gaji selama sembilan bulan menyebabkan ada antara mereka mengalami tekanan termasuk berhadapan keruntuhan rumah tangga.

Kakitangan terbabit mendakwa pernah berusaha bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi MBI Kedah bagi meminta bantuannya menyelesaikan masalah berkenaan, namun beliau menolak menyelamatkan KAHB menggunakan dana kerajaan negeri.

Awal bulan lalu, Muhammad Sanusi kemudian mengumumkan penamatan operasi KAHB selepas mendapati GLC itu tidak lagi berdaya maju serta menanggung liabiliti terlalu besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:11 PM