MANGSA dipercayai dipanah petir ditemui dibawah pokok rambai. FOTO Ihsan IPD Maran
MANGSA dipercayai dipanah petir ditemui dibawah pokok rambai. FOTO Ihsan IPD Maran
Amir Hamzah Nordin


Maran: Warga Indonesia maut dipercayai dipanah petir ketika bekerja di sebuah ladang di Felda Jengka, 19 di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Kamarudin berusia 40 tahun berasal dari Lombok sedang berteduh di bawah pokok rambai kerana hujan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa.

"Kejadian disedari rakannya yang ke ladang berkenaan sebelum mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri dipercayai meninggal dunia di bawah pokok rambai, " katanya.

Katanya, pengadu membuat laporan di Balai Polis Sungai Jerik dekat sini.

"Sejurus menerima laporan, polis ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa terbaring di tepi pokok rambai.

"Pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

"Pemeriksaan di persekitaran didapati terdapat kesan terbakar pada pokok rambai dipercayai terkena panahan petir.

"Polis juga menemubual dengan seorang rakan mangsa yang bernama Nurul Ahwan memberitahu ketika kejadian mereka cuma berdua sahaja berhenti rehat kerana hari hujan," katanya.

Katanya, Nurul Ahwan kemudian beralih berteduh di bawah pokok sawit berdekatan namun mangsa kekal berada di bawah pokok rambai.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, Nurul Ahman ternampak cahaya disusuli bunyi kuat sebelum mendapati mangsa terbaring serta tidak sedarkan diri di tepi pokok rambai.

"Mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 11:46 AM