Lokasi tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Stadium TLDM Lumut, Perak. FOTO L MANIMARAN
Lokasi tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Stadium TLDM Lumut, Perak. FOTO L MANIMARAN
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Lembaga Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden pertembungan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 kru dan penumpang di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, Lembaga Siasatan itu sudah ditubuhkan oleh TLDM untuk membuat tindakan selanjutnya.

Menurutnya, antara tanggungjawab yang akan dilakukan lembaga berkenaan adalah mengenal pasti punca berlaku insiden pertembungan itu dengan segera.

"Lembaga Penyiasatan sudah pun ditubuhkan oleh TLDM. Biar mereka laksanakan penyiasatan bagi mengenal pasti punca berlakunya kemalangan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, Mohammad mengesahkan pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan sebagai keperluan bagi menjalankan siasatan dalam insiden sedemikian.

Terdahulu, media melaporkan seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut dalam nahas dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:34 PM