Nassuruddin Daud diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak bergambar bersama anak-anak yatim ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Hotel Perdana, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nassuruddin Daud diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak bergambar bersama anak-anak yatim ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Hotel Perdana, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim & Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, insiden berkenaan diterima sebagai satu takdir daripada Allah SWT.

"Kita ucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Jika (ada mangsa dari Kelantan) kita akan beri kerjasama dan pertolongan.

"Saya percaya kerajaan mana-mana negeri juga akan beri kerjasama kepada TLDM untuk beri pertolongan kepada keluarga terbabit.

"Kita akan beri segala bentuk bantuan (jika perlu). Setakat ini kita tunggu maklumat selanjutnya (berkenaan insiden)," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Hotel Perdana di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Terdahulu media melaporkan seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Sementara itu, PAS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata siasatan segera punca nahas perlu dilakukan bagi mengenal pasti faktor sebenar kejadian terbabit.

"Takziah dirakamkan kepada keluarga mangsa. Kita sifatkan ini hari yang mendukacitakan bukan sahaja kepada keluarga mangsa bahkan juga kepada seluruh anggota TLDM dan rakyat Malaysia umumnya.

"Semoga semua keluarga mangsa yang terbabit dapat bersabar dengan ujian ini," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 12:52 PM