PEGAWAI Bahagian D3 Bukit Aman menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang ditahan selepas menyerbu sebuah pusat hiburan. FOTO ihsan Atipsom
PEGAWAI Bahagian D3 Bukit Aman menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang ditahan selepas menyerbu sebuah pusat hiburan. FOTO ihsan Atipsom
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jika dilihat dari luar, ia hanya sebuah bangunan pejabat dan perniagaan biasa sehingga tiada siapa menyangka wujudnya premis yang menjadi tempat pengunjung berhibur.

Itu taktik digunakan pemilik premis dengan menjadikan tingkat tiga bangunan perniagaan di Jalan Raja Chulan di sini, itu sebagai pusat hiburan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melakukan serbuan, 12.30 tengah malam Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan yang dijalankan dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menahan 16 individu terdiri daripada seorang lelaki dan 15 wanita warga China.

"Siasatan awal mendapati kesemua wanita warga asing berusia antara 23 hingga 38 tahun terbabit disyaki dijadikan pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki berusia 32 tahun itu mendakwa pengurus premis.

"Semakan lanjut premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan restoran tetapi dijadikan kelab hiburan dan dipercayai sudah beroperasi kira-kira sebulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:25 PM