KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis
Erika George


Bintulu: Tiga lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu tercampak ke laluan bertentangan di Jalan Sultan Iskandar di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua berkata, dalam insiden pada 4.20 pagi itu, kesemua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, semua mangsa yang membabitkan seorang penunggang dan dua pembonceng motosikal jenis Honda itu bergerak dari arah kawasan lampu isyarat Batu 2 menghala ke pasar lama Bintulu.

"Sebaik tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran selekoh, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan lalu terpelanting ke arah bertentangan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:11 PM