ANWAR menjawab soalan media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas. FOTO Mikail Ong
ANWAR menjawab soalan media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Malaysia bersedia menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui sempadan Rafah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia susulan perkembangan terbaharu Israel yang membenarkan penghantaran 'bantuan sementara' melalui sempadannya di utara Semenanjung Gaza.

"Itu memang tanggungjawab dia (Israel). Dia dah khianat sekian lama. Orang dah kebuluran baru nak cakap. Kita akan terus bagi tekanan.

"Kita 'standby' (bersedia) di sempadan Rafah. Memang ada (bantuan) sudah tiga empat kali bantuan disalurkan," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Huda Sungai Ara di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan akan membuka semula laluan Erez ke wilayah yang diancam kebuluran itu buat kali pertama sejak serangan 7 Oktober dan membenarkan penghantaran sementara bantuan kemanusiaan melalui Ashdod dan pusat pemeriksaan Erez.

Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa memuncak ke atas Israel selepas ia bertanggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WTC) baru-baru ini.

Sementara itu, Anwar memaklumkan misi menghantar bantuan itu turut dibantu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi yang mempercepatkan penghantaran bantuan kepada penduduk terjejas.

Beliau turut memberi jaminan bantuan tambahan akan dihantar selepas beberapa siri penghantaran berjaya dilaksanakan sebelum ini.

"Dua kali saya minta Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi (terakhir) dua minggu lalu bantu dipercepatkan dan akhirnya sampai," katanya.

"Insya-Allah kita akan bantu sebab masih ada petugas di sana dan ada ratusan lori menunggu giliran yang panjang. Jadi biar 'clear' dahulu," ulasnya.

Terdahulu, seramai 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri yang diimamkan Ustaz Syarafaat Yaacob dan mendengar khutbah bertajuk 'Kunci Menemukan Lailatul Qadar' disampaikan khatib, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:48 PM