Saadiah Ismail


Dengkil: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian supaya serangan di Palestin mesti dihentikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera.

Katanya, Malaysia tidak peduli dengan keputusan yang dicapai dalam Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) semalam, sebaliknya terus menggesa serangan dihentikan.

"Kita tidak peduli apa keputusan lain, tetapi hak rakyat Palestin mesti diberi, soal tanah, harta dan maruah mereka mesti diberi keutamaan.

"Tetapi yang mesti disegerakan ialah hentikan serangan dan salurkan bantuan kemanusiaan yang juga menjadi keutamaan kepada negara Islam," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat di Masjid As-Shariff, Kampung Dato Ahmad Razali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia terus menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta mengadakan rundingan setiap hari untuk perkembangan semasa.

"Tumpuan sekarang ialah dalam soal bantuan kemanusiaan seperti makanan dan perubatan, dalam masa yang sama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi juga memberi jaminan bantuan berkenaan dari Rafah akan disegerakan," katanya.

Semalam, UNSC gagal mencapai persetujuan menghentikan Perang Israel-Palestin ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Russia dan China menGgunakan kuasa veto menolak resolusi Amerika Syarikat supaya perang dihentikan seketika bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik, manakala resolusi Russia supaya gencatan senjata dilaksanakan tidak mendapat undian mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:31 PM