Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar (dua kiri) mengedarkan risalah keselamatan kebakaran semasa Pelancaran Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu di Taman Syahbandar. FOTO GHAZALI KORI

Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu hanya membenarkan 30 peratus daripada lebih 700 pegawai dan anggotanya untuk bercuti sempena Aidilfitri, tahun ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, bakinya akan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kes kecemasan termasuk bencana banjir sepanjang tempoh perayaan kali ini.

Bagaimanapun katanya, anggota yang sedang bercuti juga akan dipanggil untuk kembali bertugas serta-merta apabila diperlukan bergantung kepada keadaan semasa.

"Pada tahun ini, hanya 30 peratus sahaja anggota dan pegawai bomba yang dibenarkan bercuti berhari raya, manakala yang selebihnya akan bersiap sedia di balai-balai dan ibu pejabat sempena cuti perayaan yang agak panjang pada kali ini.

"Selain bersedia daripada keanggotaan dan logistik, pelbagai langkah dan strategi juga sudah diatur di ibu pejabat JBPM Terengganu dan semua 17 balai yang ada di negeri ini bagi menghadapi sebarang kes kecemasan termasuk kemalangan jalan raya, kebakaran dan lemas.

"Kita harap tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang musim perayaan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM Terengganu Tahun 2024 di Taman Panoramik di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:21 AM