Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak berhasrat untuk melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Kerusi berkenaan yang disandangnya sejak 2020 adalah antara tiga kerusi Dun, selain Sukau dan Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan yang turut disandangnya sejak beberapa penggal.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Umno Sabah bersama media dan anak yatim, di sini, malam tadi, Bung Moktar berkata, sebagai 'panglima' atau Ketua Umno Sabah, adalah tidak wajar untuk beliau mengundurkan diri.

Bagaimanapun, sebelum itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada muka baharu, dengan syarat penggantinya itu mesti menjadikan Umno lebih kuat di Sabah berbanding di bawah pimpinannya.

"Kalau ada jaminan Umno Sabah akan bertambah kuat kalau bukan di bawah pimpinan saya, saya boleh lepaskan (kerusi). Tapi, sebagai ketua panglima Umno Sabah, saya rasa tidak patut 'gostan' (berundur)," katanya.

Pada PRN16 Sabah, 26 September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi Dun Lamag atas tiket Barisan Nasional (BN) yang pertama kali ditandingkan (kerusi baharu) dengan memperolehi 661 majoriti dalam pertandingan enam penjuru.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, Umno Sabah akan mengemukakan beberapa muka baharu untuk menggalas misi parti memenangi sebanyak mungkin kerusi yang akan ditandingi pada PRN17 nanti.

Sebelum ini, Bung Moktar juga menyatakan kesediaan Umno Sabah untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 7:55 AM