MOHAMAD Zaim menunjukkan ketupat nasi yang siap direbus dijual di kedainya di Kampung Bukit Godek, Semabok, Melaka. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Zaim menunjukkan ketupat nasi yang siap direbus dijual di kedainya di Kampung Bukit Godek, Semabok, Melaka. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Ketupat kini bukan lagi eksklusif untuk hari raya. Bahkan di sebuah gerai di Kampung Bukit Godek, Semabok di sini, ketupat nasi berserta lauk-pauk rendang tersedia setiap hari.

Pengusaha, Mohamad Zaim Othman, 34, berkata, kira-kira 3,500 ketupat nasi dijual setiap hari di gerainya yang menjadi tumpuan ramai dan jumlah jualan turut meningkat sejak awal Ramadan.

Lebih membanggakan katanya, juadah tradisi itu mendapat permintaan syarikat makanan retort untuk dijual di pasaran Singapura.

Beliau yang mewarisi perniagaan itu daripada dua generasi sebelumnya sejak lapan tahun lalu mengakui ketupat buatan mereka kini semakin dikenali lebih-lebih lagi menerusi promosi di platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatApps.

"Untuk jualan Hari Raya Aidilfitri nanti, kira-kira 50,000 ketupat akan dijual pada petang terakhir Ramadan namun tiada tempahan dibuka jadi orang ramai hanya perlu terus datang ke kedai untuk membelinya.

"Seperti kita tahu pada hari raya ramai yang mencari ketupat dan ia ibarat emas, jadi apabila kita jual secara terus kepada pelanggan dapat memberikan rasa kemeriahan sambutan Aidilfitri," katanya.

MOHAMAD Zaim (kanan) bersama pembantunya menggantung ketupat nasi yang siap direbus. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Zaim (kanan) bersama pembantunya menggantung ketupat nasi yang siap direbus. FOTO BERNAMA

Mohamad Zaim berkata, promosi jualan ketupat untuk Aidilfitri juga dilakukan sejak awal Ramadan, dengan kebanyakan pelanggan bukan sahaja dari kawasan sekitar malah, daerah Alor Gajah dan Jasin.

Bagi memastikan bekalan mencukupi dan jualan berjalan lancar, Mohamad Zaim mengupah 30 orang untuk menganyam sarung ketupat daripada daun kelapa.

"Untuk menjaga kualiti, saya juga akan merebus ketupat nasi itu selama 24 jam...bagi menghasilkan tekstur ketupat yang lembut dan mampu bertahan lebih lama selain memberi rasa lebih enak," katanya yang turut dibantu empat orang pekerja.

Menurut usahawan itu, beliau masih mengekalkan harga sama sejak lima tahun lalu iaitu RM1.25 sebiji walaupun harga bahan asas meningkat tahun lalu.

"Untuk memudahkan pembelian, ketupat ini dijual secara set iaitu satu ikat ada empat biji ketupat berserta serunding dan ikan bilis," katanya.

Selain ketupat pihaknya turut menyediakan pelbagai jenis rendang setiap hari seperti rendang ayam, kaki ayam, hati ayam, daging serta kari kambing selain sambal ikan bilis dan serunding.

"Sebanyak 15 ayam diperlukan setiap hari untuk menyediakan rendang yang dimasak menggunakan resepi istimewa warisan ibu saya manakala untuk jualan hari raya biasanya jumlah ayam akan berganda hingga mencecah 30 ekor," katanya.

PEMBANTU di kedai Mohamad Zaim Othman menyiapkan rendang. FOTO BERNAMA
PEMBANTU di kedai Mohamad Zaim Othman menyiapkan rendang. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:05 AM