Dr Shazli Ezzat
Dr Shazli Ezzat
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kempen kesedaran sayangi diri dan orang sekeliling serta pengurusan kawalan diri perlu diperluaskan di sekolah bagi memupuk pelajar dengan kemahiran empati dan mengawal emosi seawal usia.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Tingkah Laku Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pendedahan program seumpama itu perlu supaya pelajar bijak mengawal keadaan dan tidak bertindak melulu apabila sesuatu insiden yang tidak diingini berlaku.

"Sudah sampai masanya mereka perlu dipupuk dengan kempen sayangi diri dan persekitaran.

"Ini kerana dengan sayangi diri mereka akan mengambil sikap menjaga diri mereka dengan baik dan tidak akan menganiaya diri mereka dengan terbabit dalam aktiviti yang memudarat dan memusnahkan diri mereka.

"Selain itu, penyemaian trait empati juga perlu diperluaskan dan dimantapkan dalam mata pelajaran Sivik," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes buli di asrama dengan tragedi terbaharu membabitkan pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional, di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia Jumaat lalu akibat dibelasah dalam asrama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka juga perlu mengelak daripada berada dalam keadaan konflik yang boleh membawa kepada insiden tidak diingini.

"Memahami persekitaran dalam konteks psikologi juga perlu iaitu dengan lebih cuba untuk memerihalkan tingkah laku, cuba memahami situasi, membuat ramalan apa berlaku jika sesuatu tindakan itu dilakukan (kesan) dan mempengaruhi persekitaran supaya tidak terbabit dalam tingkah laku aversif.

"Ini kerana kehidupan kita perlu fokus pada kesejahteraan hidup iaitu menjalani kehidupan dengan sebaiknya serta menjadi produktif untuk membangunkan diri, keluarga dan masyarakat," katanya.

Sudah tentu katanya, pelajar yang lebih berusia juga perlu memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga pihak sekolah dan asrama bagi

"Golongan penghuni asrama yang berusia 12 hingga 15 tahun berada dalam kemuncak mencari identiti diri serta tidak matang dari segi pemikiran namun dari segi tubuh badan dan keupayaannya sama dengan orang dewasa.

"Apabila pemikiran tidak matang, mereka akan berasa dalam keadaan emosi kacau bilau dan seterusnya melahirkan tingkah laku aversif (langsang) dan ditambah pula terdapat gang age dan kelompok dalam setiap kumpulan umur remaja itu.

"Untuk itu, golongan senior iaitu mereka yang berada dalam tingkatan Empat dan Lima harus menjadi pemimpin kerana golongan ini lebih rasional dari segi pemikiran dan emosi serta tingkah laku.

"Mereka ini lebih matang serta senioriti mereka menjadikan mereka ini dihormati di kaca mata pelajar bawah 16 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:08 PM